Berita Harian

Palestin potong gaji kakitangan awam

-

Ramallah: Menteri Kewangan Palestin kelmarin mengumumka­n pemotongan gaji buat kakitangan awamnya, beberapa hari selepas Israel berkata, ia akan menahan puluhan juta dalam bentuk pemindahan cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Ahad lalu, kabinet keselamata­n Israel meluluskan pembekuan sebanyak AS$138 juta (RM684.88 juta) pembayaran PA kepada keluarga tahanan atau tahanan sendiri, dipenjarak­an kerana melakukan serangan di Israel.

Syarat bayar penuh

Israel, yang mengutip cukai bagi pihak PA berkata, bayaran itu akan menggalakk­an lagi keganasan.

PA mendakwa, ia adalah pembiayaan kebajikan kepada keluarga yang hilang tempat bergantung.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata Rabu lalu, beliau hanya akan menerima pembayaran penuh pemindahan cukai dihutang Israel.

PA yang sudah mengalami defisit, akan ‘membayar gaji kakitangan awam tepat pada masanya namun ia akan dikurangka­n,’ kata Menteri Kewangan, Shukri Bishara selepas mesyuarat dengan wakil Kesatuan Eropah (EU) di sini.

Pemotongan itu tidak terpakai kepada gaji ‘dibayar kepada penerima pencen dan keluarga syahid’ cedera atau tahanan,‘ katanya menambah gaji di bawah 2,000 shekel (RM2,242.15) juga tidak terjejas.

Ramai penduduk Palestin menganggap tahanan dan mereka yang syahid ketika melakukan serangan ke atas Israel adalah wira. Pemimpin Palestin menganggap mereka sebagai syahid.

Mengikut perjanjian 1994, Israel mengutip sekitar AS$190 juta (RM774.56 juta) sebulan dalam duti kastam ke atas barangan ke pasaran Palestin yang transit menerusi pelabuhann­ya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia