Berita Harian

Suspek tipu 47 rakyat Malaysia kena tahan

-

Kuching: Polis Sarawak semalam membuat tangkapan pertama berkaitan kes 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja, hujung tahun lalu.

Suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak selepas dia memberi keterangan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superinten­dan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata siasatan lanjut terhadap lelaki tempatan itu masih dijalankan.

“Jika siasatan terhadapny­a tidak dapat diselesaik­an, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada jam 9 pagi esok (hari ini) untuk mendapatka­n permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

23 individu buat laporan

Mustafa Kamal berkata, sehingga kini seramai 23 individu iaitu 18 lelaki dan lima wanita tampil membuat laporan berhubung kes berkenaan.

Pada 17 Februari lalu, seramai 47 rakyat Malaysia dengan 40 daripadany­a berasal dari Sarawak selamat tiba di tanah air selepas ditahan selama 65 hari di Penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja.

Mereka ditahan polis Kemboja dalam serbuan pada 11 Disember lalu di dua rumah mewah di Siem Reap yang menjadi tempat kurungan mereka sejak November tahun lalu.

Semua rakyat Malaysia yang ditahan berusia di antara 19 dan 44 tahun dipercayai diperdaya taktik licik sindiket yang menjadikan keluarga miskin luar bandar sebagai sasaran utama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia