Berita Harian

Anwar gesa PAS henti tabur fitnah

-

Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS supaya berhenti menggunaka­n politik sebagai gelanggang untuk menabur fitnah dan pembohonga­n.

“Saya nasihat sebagai orang Islam, saya ingin nyatakan kita boleh berpolitik tetapi hentikan politik fitnah dan bohong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, di sini semalam.

Cemar, rosak imej Islam

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Hadi semalam, yang mendakwa Anwar adalah ‘orang di belakang tabir’ yang ingin membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata perbuatan PAS itu mencemar dan merosakkan imej Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan bukan Islam.

“Saya nak nasihat, orang Islam tak boleh tabur fitnah, dulu dia (PAS) cakap boleh bohong, sekarang dia boleh fitnah?”

“Kalau dia (PAS) nak guna politik untuk gelanggang fitnah dan bohong, jangan guna nama Islam. Dia (PAS) merosakkan imej Islam atas nama parti Islam.

“Imej islam itu jadi rosak, orang bukan Islam kata zaman sekarang syeikh-syeikh boleh bohong, boleh fitnah,” katanya.

Dakwa 2 parti rancang belot kepada Dr Mahathir

Polemik berkenaan undi tidak percaya timbul apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa terdapat dua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dilaporkan berkata, akan mengotakan janji menyokong Dr Mahathir sekiranya undi tidak percaya itu berlaku, bagi meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia