Berita Harian

United lebih rela jiran julang trofi

-

Manchester: Peminat Manchester United terdesak dan tidak rela Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim ini sekalipun ia bermakna gelaran itu menjadi milik seteru tetangga, Manchester City.

Skuad penuh bersemanga­t kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu berpeluang untuk merencatka­n perjalanan Liverpool apabila kedua-dua pasukan itu bertemu, malam ini dalam aksi yang dilihat memiliki lebih kepentinga­n daripada sudut sejarah berbanding pemburuan kejuaraan.

Memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan berbanding City, Liverpool dilihat masih berpeluang cerah tetapi mereka perlu berdepan United yang mulai bangkit di bawah kendalian pengurus sementara itu.

Sejak pemecatan Jose Mourinho pada Disember lalu susulan kekalahan 3-1 United kepada Liverpool di Anfield, pasukan itu kini belum pernah kalah dalam kempen liga dan menghuni kelompok empat terbaik.

Selama 26 tahun sebagai pengurus di Old Trafford, Sir Alex Ferguson berulang kali menyatakan pertemuan dengan Liverpool dianggap sebagai ‘pertemuan tetangga sebenar’ berbanding aksi dengan City.

Perasaan itu masih menebal dalam kalangan peminat kedua-dua pasukan sekalipun City mencipta kebangkita­n dengan memenangi gelaran Liga Perdana sebanyak tiga kali sejak 2012 dan menjadi kuasa besar di Manchester.

Impian sudah mati

“Saya fikir kamu perlu melihat kembali kepada permusuhan ini,” kata seorang peminat United, Rob Mager yang sudah 30 tahun menyokong kelab itu.

“Perseterua­n United dan Liverpool adalah sejarah, dua gergasi dalam bola sepak Inggeris.

“Sejak bertahun-tahun, Liverpool adalah pencabar yang lebih perkasa berbanding Manchester City dan ia sememangny­a sudah diterima.”

Di atas padang, permusuhan United dan Liverpool bermula sejak awal 1960an dengan kedua-dua kelab berkenaan bersilih ganti menguasai saingan tertinggi di England dengan mengumpul 38 kejuaraan domestik dan lapan gelaran Eropah secara keseluruha­n.

United tidak memenangi trofi Liga Perdana sejak 2013 dan secara realistik sudah terkeluar daripada pemburuan kejuaraan musim ini tetapi mereka pasti ‘gembira’ jika dapat menghalang Liverpool menjulang trofi sama yang kali terakhir dimenangi pada 1990.

Dengan United mengumpul 25 mata daripada 27 mata yang ditawarkan sejak ketibaan Solskjaer, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengerti ia mungkin perlawanan paling sukar buatnya.

Malah, United memiliki keinginan tersendiri iaitu menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik, impian yang dianggap ‘sudah mati’ ketika di bawah kendalian Mourinho.

“Bagi mereka (Liverpool), ia perlawanan yang besar, bagi kami, ia perlawanan yang besar,” kata Solskjaer.

“Kami mahu berada di kedudukan empat terbaik dan kami tahu betapa besarnya perlawanan ini untuk Manchester United, untuk staf, penyokong.

“Kami sudah bersedia untuk mengharung­i satu lagi cabaran untuk pasukan ini kerana kami mahu menjadikan­nya pasukan ini sebagai sejarah Manchester United.

“Ia satu lagi langkah yang besar jika kami melakukann­ya di gelanggang sendiri. Tottenham, Arsenal, Chelsea, kesemuanya adalah kemenangan yang hebat di gelanggang lawan, dan kini kami perlu beraksi dengan baik di laman sendiri.” AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia