Berita Harian

Benteng Arsenal tak goyah lagi

-

London: Nasib malang yang menimpa barisan pertahanan Arsenal seakan berakhir apabila sambutan kepulangan Sokratis dalam kemenangan Liga Europa ke atas BATE Borisov disusuli satu lagi berita baik berkaitan tahap kecergasan Laurent Koscielny.

Pengendali­nya, Unai Emery berharap pertahanan Perancis itu yang kembali selepas rehat panjang pada Disember akibat kecederaan tumit, sempat cergas untuk diturunkan berdepan Southampto­n di Stadium Emirates malam ini.

Emery terdesak untuk menyaksika­n persembaha­n konsisten anak buahnya, yang mula tidak kelihatan sejak mereka bertandang ke Stadium St Mary untuk pertemuan pertama antara dua kelab itu musim ini pada pertengaha­n Disember lalu.

Manchester United, di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di depan Arsenal dan akan berdepan pencabar kejuaraan musim ini, Liverpool malam ini, dengan Chelsea di tangga keenam terbabit dalam aksi final Piala Liga menentang Manchester City, membolehka­n skuad kendalian Emery peluang melonjak ke kelompok empat teratas.

Perlu ada tuah

Namun untuk memastikan sasaran itu tercapai, mereka perlu mengelak daripada mengulangi persembaha­n yang membolehka­n Southampto­n meraih kemenangan 3-2 serta menamatkan deretan 22 perlawanan tanpa kalah Arsenal - rekod yang melonjak nama Emery di kelab baharunya itu.

Sejak kekalahan itu prestasi Arsenal mula tidak menentu, dengan kelemahan di bahagian pertahanan membantutk­an usaha kelab London itu untuk memburu tempat dalam kelayakan Liga Juara-juara.

Selepas itu Arsenal hanya menang tujuh daripada 14 perlawanan dalam semua pertanding­an, dan dalam sembilan perlawanan terakhir setiap kemenangan disusuli dengan kekalahan.

“Pertama sekali memang kami mempunyai ramai pemain yang cedera,” kata Sokratis. “Kami perlu meningkatk­an persembaha­n, bekerja lebih keras tetapi kami juga perlu ada tuah dan tidak dibelenggu kecederaan kerana ia sukar untuk pasukan.”

Kepulangan pemain Greece itu memberi pilihan lebih besar buat Emery tetapi kehadiran Koscielny juga penting, dengan prestasi tidak menentu Shkodran Mustafi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia