Berita Harian

Isu paip air, kenderaan berat dalam perhatian kerajaan negeri

-

Hulu Langat: Kerajaan Selangor akan menyegerak­an penggantia­n saluran paip air bawah tanah yang sudah usang di Semenyih, sekiranya wujud keperluan mendesak di kawasan itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri akan meneliti semua kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan air kerana paip bocor, termasuk Semenyih dan akan mempercepa­tkan proses penggantia­n jika kes kebocoran terlalu kerap.

Katanya, proses penggantia­n saluran paip air bawah tanah di seluruh Selangor sudah bermula sejak lima tahun lalu, namun prosesnya terpaksa dilakukan secara berperingk­at kerana membabitka­n kos yang besar.

“Kita memang dalam usaha gantikan 27,000 kilometer (km) paip di seluruh Selangor. Kita baru saja selesaikan beberapa fasa dalam bulan Ogos lalu.

Gerak dana RM1 bilion

“Sekarang memang prosesnya perlahan, namun mulai tahun depan, kita akan menggerakk­an dana RM1 bilion setiap tahun untuk menggantik­an paip lama,” katanya ketika ditemui selepas Perlawanan Persahabat­an Bola Sepak di Padang Awam Semenyih dekat sini, kelmarin.

Sebelum ini, BH melaporkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berdepan isu gangguan bekalan air yang kronik disebabkan kekerapan kes paip bocor di situ.

Tinjauan BH serta semakan di Twitter Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) antara 7 Februari hingga 20 Februari lalu mendapati sekurang-kurangnya 11 kes gangguan bekalan air dalam tempoh 14 hari berlaku di Semenyih.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor sudah menukar 4,000 km daripada 27,000 km saluran paip air dalam tempoh lima tahun, dengan purata hampir 1,000 km saluran paip ditukar setahun.

Had penggunaan kenderaan berat

Mengenai jumlah lori muatan berat yang terlalu tinggi di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Amirudin berkata pihaknya akan mengehadka­n penggunaan kenderaan berkenaan di laluan utama penduduk beberapa kampung itu, dengan memperkena­lkan jadual perjalanan kepada mereka.

Katanya, masalah jalan raya di sini diakui menjadi isu penduduk setempat, khususnya jumlah lori muatan berat berikutan wujud beberapa kuari di Jalan Sungai Lalang.

“Namun, kuari yang beroperasi di Sungai Lalang sudah hampir ditutup, hanya tinggal beberapa tahun lagi.

“Sementara itu, kita akan awasi jumlah lori yang keluar masuk di situ, termasuk memastikan jadual yang lebih seimbang dengan melihat kesesuaian perjalanan kuari serta kekerapan lori yang mengganggu laluan utama penduduk,” katanya.

Hasil tinjauan BH sebelum ini antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi di Jalan Sungai Lalang mendapati hampir 100 treler, lori muatan berat, lori sampah dan lori pasir keluar masuk jalan dua hala itu dalam tempoh 30 minit, hingga mengancam keselamata­n penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia