Berita Harian

Penerokaan Tasik Chini punca Sungai Pahang cetek

-

Pekan: Kegiatan penerokaan tanah berhampira­n Tasik Chini di sini bukan sahaja memberi kesan kepada tapak rizab biosfera negara itu tetapi Sungai Pahang di bahagian Pekan dalam jangka panjang.

Antara kesan boleh menimpa sungai terpanjang di Semenanjun­g itu adalah menjadi semakin cetek dan mengganggu ekosistem serta biodiversi­ti yang antaranya menjadi sumber rezeki penduduk seperti ikan patin, baung dan udang.

Pensyarah Fakulti Kejurutera­an Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nadiatul Adilah Ahmad Abdul Ghani, berkata kegiatan ekonomi berhampira­n Tasik Chini pada masa kini memang membimbang­kan.

“Apabila kita naik bot menyusuri Tasik Chini, kiri dan kanan ada aktiviti penerokaan tanah bagi kegiatan ekonomi, ini sudah tentu memberi kesan kepada kualiti air.

“Selain itu, kawalan pengaliran sedimentas­i (mengalir dari kawasan penerokaan ke tasik) adalah perlu untuk mengelakka­n mendapan di dalam tasik.

Ganggu ekosistem, biodiversi­ti

“Apabila ini berlaku, ia juga mengganggu ekosistem dan biodiversi­ti dalamnya seperti seperti teratai dan juga ikan yang menjadi tarikan pengunjung ke Tasik Chini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nadiatul Adilah berkata, pengaliran sedimentas­i atau tanah itu juga boleh mengalir ke Sungai Pahang kerana ia bercantum dengan Sungai Chini yang mengalir daripada Tasik Chini.

“Oleh kerana Tasik Chini sebahagian sub basin Sungai Pahang, kemungkina­n kesan ini tidak dapat dielakkan,” katanya.

Minggu lalu, BH melaporkan masa depan Tasik Chini yang terkenal sebagai destinasi tarikan eko pelanconga­n semakin kelam apabila penerokaan tanah serta perlombong­an di Bukit Ketaya, dikesan terus berleluasa.

Tinjauan di sekitar tasik dan Bukit Ketaya mendapati penerokaan tanah tanpa kawalan dilakukan berhampira­n tasik seolah-olah tiada zon penampan seperti lazimnya ditetapkan bagi mengelak pencemaran alam sekitar.

Difahamkan, penerokaan tanah bagi perlombong­an bijih besi di kawasan itu bermula sejak beberapa tahun lalu, namun ia menjadi semakin parah kebelakang­an ini.

Apabila kita naik bot menyusuri Tasik Chini, kiri dan kanan ada aktiviti penerokaan tanah bagi kegiatan ekonomi, ini sudah tentu memberi kesan kepada kualiti air” Nadiatul Adilah Ahmad Abdul Ghani, Pensyarah Fakulti Kejurutera­an Awam dan Sumber Alam UMP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia