Berita Harian

Pusat kena perjelas isu syor saman kerajaan negeri

Projek perlu kelulusan Kerajaan Persekutua­n sebelum dilaksana

- Oleh Petah Wazzan Iskandar, Muhammad Yusri Muzamir dan Nurul Fhatihah Zakinan bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur

Kerajaan Persekutua­n perlu menjelaska­n lebih terperinci berhubung cadanganny­a untuk menyaman kerajaan negeri yang dikatakan terbabit dengan pencemaran alam sekitar.

Di Kubang Pasu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata Kedah sentiasa tegas dalam memastikan sungai di negeri itu bebas dari sebarang pencemaran alam sekitar bagi memastikan sumber air mentah terjamin bersih untuk kegunaan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembang­an semasa bagi memastikan sumber bekalan air sentiasa bersih dan tidak tercemar dari sebarang aktiviti komersial ataupun domestik.

“Kita amat berhati-hati dengan perkara ini (pencemaran) sebab sungai adalah sumber bekalan air utama untuk pertanian dan kegunaan harian.

Sentiasa pantau

“Perkara ini sangat diambil berat dan kita sentiasa memantau. Jika terdapat aktiviti pencemaran, kita (kerajaan negeri) paling awal ambil tindakan.

“Sebarang tindakan, penguatkua­saan dibuat, kita tidak akan tunggu kementeria­n atau Pusat bertindak dahulu,” katanya selepas merasmikan program bersama pemimpin sempena Kursus Induksi MPKK Kedah di Dewan Wawasan, di sini, semalam.

Di Georgetown, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata Kerajaan Persekutua­n perlu lebih spesifik apa yang dimaksudka­n dengan kesilapan kerajaan negeri itu kerana cadangan projek berskala kecil atau mega dirangka kerajaan negeri perlu melalui proses mendapatka­n kelulusan Kerajaan Persekutua­n.

Katanya, impak sesebuah projek juga dinyatakan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutua­n, sebelum kerja pembinaan dijalankan.

“Jadi, bagaimana Kerajaan Persekutua­n mahu klasifikas­ikan kesalahan pencemaran alam sekitar ini berpunca atau dilakukan kerajaan negeri? Ia sangat luas dan perlu pendefinis­ian, adakah ia membabitka­n projek haram?

“Ia tak adil jika saman dikemukaka­n ke atas kerajaan negeri hanya kerana beberapa projek haram. Kerajaan Persekutua­n sebaliknya perlu menyerahka­n writ saman terbabit kepada pengendali premis terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, BH melaporkan kerajaan negeri boleh berdepan tindakan saman Kerajaan Persekutua­n, jika premis atau projek pembanguna­n di negeri masingmasi­ng didapati menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Ia bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan menerusi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kerajaan negeri terbabit dalam pencemaran akan dikenakan tindakan dan sebanyak mungkin pertuduhan mengikut undang-undang sedia ada.

Jalankan siasatan segera

Mengenai empat sungai di Pulau Pinang diklasifik­asikan dalam Kelas Lima, Boon Poh berkata, pihaknya akan mengarahka­n Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menjalanka­n siasatan segera mengenai perkara berkenaan.

Di Melaka, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Tey Kok Kiew berkata, kementeria­n perlu mengkaji semula keputusan menguatkua­sakan Akta Alam Sekeliling 1974 yang membolehka­n saman dikenakan ke atas kerajaan negeri.

Ia bagi memastikan pelaksanaa­nnya kelak tidak membebanka­n mana-mana pihak.

“Saya rasa, mereka (kementeria­n) perlu kaji kaedah terbaik bagi memastikan kualiti alam sekitar terjamin dan terkawal.

“Bagaimanap­un, saya yakin, kerajaan akan membuat kajian dan keputusan terbaik dalam hal ini,” katanya.

Kok Kiew, berkata, setakat ini semua projek dilaksanak­an di negeri ini mematuhi semua syarat dan peraturan membabitka­n kualiti alam sekitar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia