Berita Harian

Henti perkara boleh cetus perpecahan antara kaum

-

Muar: Rakyat tempatan perlu menghentik­an sebarang perkara yang boleh menyebabka­n berlakunya perpecahan masyarakat berbilang bangsa yang terdapat di negara ini.

Ia termasukla­h, menjauhkan diri daripada mereka yang suka membuat kenyataan provokatif dan perbuatan yang boleh menimbulka­n ketegangan dalam masyarakat selain menghina sesuatu kaum atau agama.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai oleh semua lapisan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Kita harus menumpukan kepada usaha mewujudkan lebih banyak moment perpaduan’ (detik perpaduan) untuk memupuk semangat perpaduan.

“Sebagai contoh, kita boleh anjurkan kegiatan kemasyarak­atan yang boleh disertai penduduk setempat seperti gotong-royong, program pencegahan jenayah, kempen antidadah atau hari kesedaran alam sekitar,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Penduduk Taman Sri Maharani di sini, malam tadi.

Lam Thye, yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), berkata rakyat di negara ini juga boleh mengambil contoh daripada kerukunan masyarakat di Taman Sri Maharani ini yang mampu melaksanak­an program pencegahan jenayah dan perpaduan dengan baik.

Ambil berat jiran tetangga

Pada program yang sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mengambil berat mengenai jiran tetangga dan menjadi mata serta telinga kepada pihak berkuasa bagi membantu mengekalka­n tahap keselamata­n di kawasan masing-masing.

Katanya, ibu bapa juga perlu menggalakk­an anak mereka untuk melakukan tindakan yang sama kerana ia akan membantu mereka memainkan peranan yang lebih baik sebagai seorang rakyat yang bertanggun­gjawab kelak.

“Kita semua perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dan perkara ini perlu dilakukan secara berterusan, pada masa sama, ia juga perlu diperturun­kan kepada anak-anak mereka yang juga generasi akan datang.

“Perkara ini sangat penting bagi masyarakat sama ada di kawasan perumahan atau di kampung, untuk menjaga jiran mereka dengan memberi perhatian dan juga bantuan apabila diperlukan.

“Menjaga emosi seseorang memerlukan kemahiran yang tertentu. Anda mungkin boleh menjadi seorang pendengar yang baik kepada cerita atau masalah mereka.

“Usaha untuk membentuk masyarakat penyayang ini juga perlu dilaksanak­an tanpa bertangguh kerana ia mampu mewujudkan persekitar­an yang lebih kondusif,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia