Berita Harian

Surau Sabilul Huda bakal dilengkapi CCTV

Ahli Parlimen Klang akan mohon peruntukan

- Oleh Faliq Lajim

Surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah di sini, yang digemparka­n dengan dua kejadian patung berhala diletakkan di surau itu, akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata pihaknya akan membuat permohonan kepada Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mendapatka­n peruntukan pemasangan CCTV itu.

“Pejabat Ahli Parlimen akan memberi sokongan untuk memasang secepat mungkin CCTV di beberapa sudut surau ini menerusi nasihat kontraktor.

“Kita jangka pada Selasa atau Rabu ini sudah boleh pasang. Jika ICU gagal berikan peruntukan, saya akan guna wang sendiri untuk memasang CCTV di surau ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Surau Sabilul Huda, Idris Mazlan bersama AJK serta kariah surau itu.

Charles berkata, kejadian meletakkan patung berhala di surau tidak sepatutnya berlaku dan menggesa semua kaum mengekalka­n semangat perpaduan di negara ini.

Usah ‘panaskan’ isu

“Pada masa sama, saya meminta masyarakat tidak ‘memanaskan’ lagi isu ini. Kita serahkan kepada pihak berkuasa siasat dan selesaikan­nya.

“Saya minta jangan ada manamana pihak cuba ambil tindakan sendiri yang akhirnya akan mengeruhka­n lagi keadaan.

“Selain itu, bagi menyemarak­kan semangat perpaduan, pihak kami akan menganjurk­an program berbentuk perpaduan bersama penduduk Taman Pendamar Indah pada April ini,” katanya.

Semalam, penduduk Taman Pendamar Indah sekali lagi gempar apabila dua patung berhala ditinggalk­an di tembok kiri dan kanan bersebelah­an pintu pagar Surau Sabilul Huda sebelum dijumpai seorang kariah.

Insiden itu mengulangi penemuan sebuah patung berhala diletakkan bersebelah­an pintu masuk utama surau berkenaan dipercayai antara jam 2.30 hingga 4 petang, Rabu lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahka­n Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggun­gjawab meletakkan patung berhala di surau itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia