Berita Harian

Program Sungai Nadi Kehidupan dikekal

-

Kuala Lumpur: Kementeria­n Wilayah akan mengekalka­n program Sungai Nadi Kehidupan (ROL) sebagai sebahagian pelan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kawasan laluan pejalan kaki.

Menterinya, Khalid Samad, yakin ROL akan menerima impak positif daripada penutupan Jalan TAR kepada kenderaan awam itu, selain memberi jaminan bazar Ramadan di Jalan Masjid India tidak akan ditutup.

“Isu bazar Ramadan ini masih dalam peringkat perbincang­an dengan semua pemegang taruh,” katanya selepas pelancaran Yayasan Amal Mabrur Malaysia, di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai kedudukan bazar itu yang dikatakan akan ditutup atau dipindahka­n susulan rancangan kementeria­n untuk menjadikan Jalan TAR sebagai laluan pejalan kaki dan zon bebas kenderaan yang turut membabitka­n ROL di kawasan sama.

Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, sebarang keputusan mengenai penutupan sebahagian Jalan TAR kepada kenderaan awam akan dimuktamad­kan sebelum 15 Mac selepas mendengar maklum balas pemegang taruh khususnya penjaja dan peniaga di sekitar Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu.

Yayasan wadah terbaik

Mengenai Yayasan Amal Mabrur Malaysia, beliau berkata, penubuhan yayasan itu dilihat mampu menjadi wadah terbaik membantu alumni haji dan umrah untuk terus komited meneruskan kemabruran (konsistens­i beribadah) sebaik selesai menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata yayasan yang sebelumnya dikenali sebagai Pertubuhan Amal Mabrur itu juga diyakini akan menjadi platform terbaik untuk alumni berkumpul dan melakukan aktiviti-aktiviti yang bakal memanfaatk­an umat Islam di negara ini.

“Amal mabrur bererti kerja yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dan konsisten untuk mendapat reda Allah, dan persoalann­ya bagaimana untuk kita mengekalka­n kemabruran ini?

“Di sini pentingnya yayasan dalam berperanan membimbing alumni untuk terus konsisten dengan pelbagai program yang akan direncana untuk kebaikan alumni dan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi yayasan, Mohd Hasnil Abu Bakar, berkata antara program yang bakal direncana ialah pertemuan berkala alumni haji dan umrah di setiap negeri, kursus haji dan umrah bermodul kepada bakal jemaah haji dan umrah, serta simulasi haji cilik.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 alumni haji dan umrah selain pelancaran buku ‘Tadabbur dan Mabrur: Jalan Menuju Syurga’ tulisan Mohd Hasnil.

 ??  ?? Khalid Samad
Khalid Samad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia