Berita Harian

Individu ada tatu kongsi gelap boleh ditahan

-

Kuala Lumpur: Mana-mana individu yang mempunyai tatu atau lambang kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram adalah salah dan boleh ditahan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Beliau menjelaska­n, sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap sudah diwartakan haram oleh Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) pada 2013 di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana menjalanka­n kegiatan yang memudaratk­an ketenteram­an awam di negara ini.

Katanya, antara kumpulan kongsi gelap yang dikesan masih cergas adalah Sio Sam Ong, Ngo Sek Kee, Geng 360, Geng Double 7, Geng 3 Line dan Geng 36.

Penggunaan tatu kurang

“Buat masa ini, penggunaan tatu bercorak kongsi gelap yang diwartakan haram dikesan berkuranga­n, namun identiti mereka (anggota kongsi gelap) ini juga dapat dikesan melalui pelekat dan kain rentang tertentu.

“Selain itu, identiti kumpulan kongsi gelap akan jelas dikesan ketika upacara pengebumia­n atau keramaian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mereka yang memiliki lambang atau tatu kumpulan kongsi gelap akan didakwa mengikut Akta Pertubuhan 1966, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

369 kongsi gelap ditahan

Sementara itu, Rohaimi berkata, 369 anggota kongsi gelap ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dalam tempoh lima tahun bermula 2014.

“Pelaksanaa­n Ops Cantas Khas dengan menggunaka­n POCA dan Akta Kawalan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2002 memberi kesan yang positif kepada usaha membantera­s kegiatan kongsi gelap,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata tindakan proaktif pemaju dengan menempatka­n pengawal keselamata­n dan kamera litar tertutup di tapak projek di kawasan bandar menyebabka­n kumpulan kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

“Pendekatan positif diambil pemaju perumahan membuatkan peluang kumpulan kongsi gelap mengaut keuntungan di dalam kawasan bandar adalah sangat tipis,” katanya mengulas faktor kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

 ??  ?? Rohaimi Md Isa
Rohaimi Md Isa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia