Berita Harian

ANAS COSMETICS

Cekal, berani mencuba faktor kejayaan

- Oleh Nora Mahpar noramahpar@nstp.com.my

Tidak seperti kanak-kanak seusianya, beliau membesar dalam suasana serba kekurangan, tambahan pula adik-beradik yang ramai memerlukan­nya sentiasa berusaha mendapatka­n sendiri apa yang diimpikan.

Menjadi anak petani bukanlah kehidupan yang mudah, lebih-lebih lagi ibunya hanya seorang suri rumah sepenuh masa yang hanya menunggu hasil titik peluh suami di kebun sayur untuk membesarka­n anak-anak.

Tekad untuk mengubah nasib keluarga, Mohamad Anas Zahrin Atan, 31, yang dahulunya mengelilin­gi kampung menjual hasil tanaman sayuran, kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya menubuhkan syarikat kosmetik sendiri dengan nama ANAS Cosmetics.

“Darah berniaga memang dah diterap daripada kecil. Bapa sendiri ajar supaya jangan malu untuk berniaga dan cari duit sendiri. Dulu dapat RM2, RM3 sehari pun dah gembira tak terkata. Jadilah, untuk buat duit belanja dan simpan sedikit.

“Namun, terdetik di hati sampai bila keluarga perlu lalui semua ini? Dari situ, saya nekad untuk ubah kehidupan keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin. Kerana bagi saya, hanya ilmu dan pengalaman, mampu menjadikan seseorang itu berjaya dan dipandang mulia,” kata anak keenam daripada sembilan adik beradik ini ketika ditemui Nadibiz, baru-baru ini.

Mengimbau detik awal, tamat persekolah­an, beliau terus mengorak langkah menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi dengan mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan dan seterusnya Sarjana Muda Pengajian Pemasaran di Univerisit­i Teknologi Mara (UITM) dan selepas itu, menimba ilmu ‘Short Course’ di London Fashion School selama tiga bulan pada 2013, dengan tajaan sendiri.

Cari peluang

Ketika di universiti, Anas yang turut dikenali dengan nama Annas Easkey sentiasa mencari peluang untuk menambah duit poket dengan mengambil upah ‘menangkap’ gambar rakan-rakan dengan kadar bayaran serendah RM50 untuk satu sesi.

“Pada peringkat awal, dengan bermodalka­n kamera yang dipinjam daripada rakan, saya galak mencari duit poket sendiri. Sampai satu masa, pendapatan sebulan saya mencecah sehingga RM4,000 ke RM5,000.

“Tamat pengajian saya nekad untuk buka studio sendiri dan berkolabor­asi dengan rakan-rakan artis di samping aktif di media sosial,” katanya.

Mengakui gemar dengan sesuatu benda yang cantik dan suka bermain dengan warna, beliau akhirnya nekad melancarka­n produk kosmetik sendiri, ANAS Cosmetics pada Ogos 2017.

Selain mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang baru, Anas mahu jenama kosmetikny­a melengkapi warna-warna wanita ASIA, yang susah untuk didapati pada jenama-jenama antarabang­sa lain.

“Keunikan ANAS Cosmetics adalah harganya yang mampu milik dan rupa serta kualitinya setanding produk antarabang­sa.

“Saya tidak mahu bangunkan produk semborono sahaja tetapi saya akan pastikan ia sesuai dengan wanita kita dan wanita daripada kalangan pendapatan sederhana dan rendah turut mampu menggunaka­n produk berkualiti yang ANAS tawarkan,” katanya.

Hasil keringat hampir setahun membuahkan hasil apabila ANAS Cosmetics mendapat pengiktira­fan daripada Sasa Malaysia, peruncit kosmetik terkemuka berasal daripada Hong Kong, untuk membeli produknya untuk dijual di rangkaian butiknya.

“Kami beruntung kerana jenama ANAS Cosmetics diletakkan sebaris dengan jenama premium yang lain. Dan dalam tempoh dua bulan selepas kerjasama ini, produk Anas diletakkan di 33 outlet Sasa seluruh Malaysia,” katanya.

Ketika ini, ANAS Cosmetics menawarkan lima jenis produk kecantikan termasuk gincu, pembayang mata dan maskara.

April ini, ANAS Cosmetics akan melebarkan rangkaian produknya kepada lebih 20 jenis termasuk penutup cela, pemerah pipi dan bedak asas. Selain Sasa, produk ANAS Cosmetics juga boleh didapati di Fashionval­et dengan harga sekitar RM29-RM89.

Setiap kejayaan pastinya berdepan badai, begitu juga Anas yang sebelum ini pernah dibebani hutang dengan pembekal hampir RM1 juta.

Rakan artis

“Ketika itu, saya hampir putus asa dan mahu tinggalkan apa yang saya usahakan selama ini dan pulang ke kampung menemani ibu. Hampir sebulan saya kumpul kekuatan diri dan ibu adalah sumber kekuatan saya untuk bangkit dan capai apa yang saya ada sekarang ini,” katanya yang turut mengusahak­an perniagaan pakaian dengan jenama ASHH&ANNAS.

Berkongsi kejayaan perniagaan­nya, Anas berkata, beliau bernasib baik kerana memiliki ramai rakan artis yang tidak kekok untuk mempromosi dan menyokong produk beliau.

“Prinsip yang saya pegang sehingga hari ini, jika buat baik pada orang, perkara itu datang balik kepada kita. Sebab tu saya tidak ramai kawan, tetapi kawan yang saya ada sangat menyokong usaha saya dari dahulu hingga kini,” katanya sambil menyebut beberapa nama seperti Ayda Jebat, Izara Aishah, Hanis Zalikha dan Rozita Che Wan.

Mengenai perancanga­n masa depan, Anas berkata, pihaknya menyasarka­n ANAS Cosmetics dijual di 280 outlet Sasa seluruh dunia termasuk di Taiwan dan Korea serta mampu menembusi pasaran Asia Barat serta Indonesia dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

“Dengan peluasan pemasaran dan penambahan jumlah produk, kita jangka pendapatan syarikat akan meningkat 10 kali ganda daripada nilai jualan semasa,” katanya.

Beliau juga berharap, jenama ANAS Cosmetics mampu menjadi jenama pilihan dan wajib ada di ‘setiap rumah’ sebaris dengan jenama antarabang­sa suatu masa nanti.

Saya tidak mahu bangunkan produk semborono sahaja tetapi saya akan pastikan ia sesuai dengan wanita kita” Mohamad Anas Zahrin Atan

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia