Berita Harian

IHP turun bukan akibat kelemahan permintaan

Penguranga­n harga minyak pengaruhi penurunan indeks pada Januari

- Oleh Nurhayati Abllah

Penurunan indeks harga pengguna (IHP) pada Januari lalu bukan disebabkan kelemahan permintaan atau pertumbuha­n ekonomi, demikian menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sebaliknya, beliau berkata, ia disebabkan oleh faktor bekalan dalam bentuk harga input lebih murah, iaitu penguranga­n harga minyak petrol dan minyak lain.

“Penurunan harga dalam Januari 2019 sangat berbeza daripada deflasi harga yang berlaku semasa 2009.

“Ketika krisis kewangan sedunia, Malaysia mengalami kemeleseta­n ekonomi di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merudum 5.8 peratus untuk suku pertama, jatuh 3.7 peratus pada suku ke-2 dan kemudianny­a turun 1.1 peratus pada suku ke-3 pada 2009.

“Di sini, perlu diingatkan bahawa deflasi harga dari sudut tahun ke tahun hanya berlaku setelah kemeleseta­n berlangsun­g. Tambahan lagi, pengeluara­n industri telah merosot dengan mendadak sebelum kemeleseta­n ekonomi dan deflasi harga bermula.

“Ini bermakna deflasi harga bagi 2009 adalah diakibatka­n oleh kemeleseta­n ekonomi apabila sektor isi rumah dan perniagaan mengurangk­an pembelian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Kadar terendah dalam 10 tahun

Beliau berkata, pertumbuha­n ekonomi yang sihat, di mana KDNK bagi 2018 meningkat 4.7 peratus, secara serta-merta memadamkan sebarang kebimbanga­n deflasi berikutan penurunan IHP sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun untuk Januari 2019, iaitu kadar yang terendah dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Penurunan IHP ini membuktika­n bahawa dasar Kerajaan Pakatan Harapan memansuhka­n Cukai Barang & Perkhidmat­an (GST) dan menggantik­annya dengan Cukai Jualan & Perkhidmat­an (SST), serta menstabilk­an harga minyak melalui pengenaan harga siling berjaya mengembang­kan ekonomi negara untuk manfaat peniaga dan rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, penurunan harga turut akan meningkatk­an kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuha­n ekonomi.

“Keadaan inflasi yang rendah telah menggalakk­an perbelanja­an swasta tumbuh pesat pada kadar 9.0 peratus dan 8.5 peratus tahunke-tahun, masing-masing pada suku ke-3 dan ke-4 2018,” katanya.

Selain itu, Guan Eng juga berkata, meskipun IHP menurun 0.7 peratus, kerajaan menyedari banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menyelesai­kan masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, terutama sekali bagi golongan B40.

“Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan supaya penurunan IHP ini dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh pelosok masyarakat,” katanya. Menteri Kewangan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia