Berita Harian

Bandi tak penting diri

Sentiasa titik berat kebajikan ahli kumpulan kunci utama Amuk masih bertahan

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan

Hampir empat dekad dalam industri seni, keampuhan Amuk terbukti apabila masih bertahan. Ketika kebanyakan kumpulan seusia mereka sudah terkubur, Amuk masih kental meneruskan perjuangan ketika generasi muda sedang hangat menguasai pasaran.

Bandi sebagai vokalis berkata, sikap amanah dan tanggung jawab menjadi resipi keutuhan kumpulan yang turut dianggotai Metal Jawa, Din Taring serta Budu Siam itu.

Sebagai individu yang bertanggun­gjawab menerajui band yang popular dengan lagu Aku

Mahu Pulang dan Asam Garam itu, Bandi sangat menitikber­atkan kebajikan setiap anggota, termasuk pemuzik undangan.

“Mereka bekerja dengan saya, jadi kebajikan mereka adalah di bawah tanggung jawab saya. Setiap kali ke studio untuk sesi latihan, saya akan sediakan duit belanja, makan dan pengangkut­an.

“Disebabkan itu, setiap kali menerima tawaran persembaha­n bersama band, saya akan letak harga yang setimpal. Bayaran yang diterima itu bukan untuk saya seorang, sebaliknya dikongsi bersama anggota lain,” katanya.

Enggan ulangi kesilapan

Belajar daripada pengalaman silam ketika masih menyertai Febians, penyanyi berusia 55 tahun ini tidak mahu kesilapan lalu menjadi barah yang merosakkan kepercayaa­n ahli kumpulan.

Akur pergerakan­nya tidak sehebat dulu seiring peningkata­n usia, Bandi melihat Amuk masih berupaya menguasai pentas, berkat sokongan peminat yang membesar dengan karya mereka.

“Saya pernah buat silap ketika awal kemunculan dalam industri muzik. Daripada pengalaman itu, saya belajar mengatur perjalanan sebuah kumpulan kerana tidak mahu kesilapan berulang.

“Saya selesa bersama Amuk, malah mereka menghormat­i setiap keputusan yang saya buat. Sekiranya membabitka­n persembaha­n besar, kami akan duduk berbincang.

“Kumpulan ini juga mempunyai ahli yang boleh menguruska­n dari segi pilihan lagu dan susunan muzik. Maklum, pada usia melebihi setengah abad, banyak benda yang saya lupa,” katanya.

Hargai jasa

Meskipun namanya lebih ke depan dengan pelbagai tawaran persembaha­n solo, Bandi tidak pernah lupa jasa mereka yang ada bersamanya ketika jatuh dan bangun.

“Mereka tidak mempunyai masalah atau terasa hati jika saya muncul solo kerana masing-masing mempunyai komitmen tersendiri sebagai pemuzik undangan.

“Bagi saya, sesiapa sahaja boleh menjadi anggota Amuk, cuma saya akan pilih mereka yang betul-betul mampu membawakan lagu kami,” katanya.

Bakal menjayakan konsert Rockstage 5 di Stadium Chin Woo, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, Sabtu ini, Bandi mahu menampilka­n kelainan demi kepuasan peminat.

Mahu khatam al-quran

Menyedari usia yang semakin memanjat, Bandi berkata, dia juga sudah mula mengatur langkah dengan mendekatka­n diri kepada agama, selain mempelajar­i semula al-quran.

“Pada usia sebegini, tiada yang lebih penting dan menjadi keutamaan daripada memikirkan soal akhirat. Saya penat jika selalu bercerita mengenai hal dunia.

“Perkara paling utama, saya mahu khatam al-quran. Saya tidak malu bermula kembali dengan membaca Iqra,” katanya yang sudah lebih setahun mengikuti kelas mengaji bersama beberapa rakan termasuk Zul Handy Black, Mel XPDC, Ali, Zul Yahya dan Rahmad Mega.

Saya pernah buat silap ketika awal kemunculan dalam industri muzik. Daripada pengalaman itu, saya belajar mengatur perjalanan sebuah kumpulan kerana tidak mahu kesilapan berulang” Bandi

 ?? [ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ] ??
[ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia