Berita Harian

Mbappe cipta sejarah

-

Paris: Kylian Mbappe muncul pemain termuda menyumbat 50 gol dalam kempen Ligue 1 selepas meledak dua kali ketika Paris SaintGerma­in (PSG) meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Nimes, kelmarin.

Kemenangan itu menyaksika­n juara Perancis berkenaan mengukuhka­n kedudukan di puncak Ligue 1 dengan kelebihan 17 mata di depan pencabar terdekat, Lille yang sebelum ini terikat 1-1 menentang Strasbourg, Jumaat lalu.

Selepas membuka tirai jaringan menerusi Christophe­r Nkunku pada minit ke-40, Mbappe meledak gol pertamanya pada minit ke-69 diikuti gol kedua peribadi seminit sebelum aksi berakhir.

Menurut data yang dikumpulka­n oleh Opta, Mbappe meleburkan rekod yang sebelum ini dipegang Yannick Stopyra pada 1982 ketika berumur 21 tahun 11 bulan dan sembilan hari.

“Saya bekerja keras setiap untuk membantu pasukan sebanyak yang mungkin,” kata Mbappe.

Tumbuk bola

Pada aksi di Parc de Princes itu, PSG boleh menang dengan jumlah jaringan besar menentang kelab di pertengaha­n liga, Nimes tetapi kecekapan penjaga gol, Paul Bernadoni selain penyudah kurang berbisa merencatka­n peluang berkenaan.

Tanpa kelibat dua tonggak serangan, Edinson Cavani dan Neymar, Mbappe sepatutnya sudah meletakkan PSG di depan pada minit ke-32 tetapi ia dihalang dengan aksi menyelamat hebat Bernadoni berpunca hantaran Marco Verratti.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu turut berfikir dia sudah menjaringk­an gol sebelum rehat tetapi ia dibatalkan dan berdepan hukuman selepas Video Bantuan Pengadil mendapatin­ya bukan menanduk bola berkenaan sebaliknya menumbuk.

Selepas sekali lagi usahanya dihalang Bernadoni pada awal babak kedua, pemain berusia 20 tahun akhirnya memecah kebuntuan dengan menggandak­an kelebihan PSG berpunca daripada hantaran Juan Bernat sebelum meledak gol ke-22 dalam kancah Ligue 1 musim ini pada minit ke-89.

 ?? [FOTO AFP] ?? Kylian Mbappe
[FOTO AFP] Kylian Mbappe

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia