Berita Harian

BAM kena wajib pemain sertai kejohanan kebangsaan

- Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mewajibkan semua pemain tidak kira di bawah naungan badan induk itu atau profesiona­l untuk beraksi dalam kejohanan kebangsaan setiap tahun.

Bekas pemain perseorang­an lelaki negara, Rashid Sidek berkata ia penting bagi mengembali­kan prestij kejohanan berkenaan yang semakin pudar dan dianggap bukan lagi kejohanan yang penting untuk pemain.

“Saya harap BAM dapat teliti perkara ini. Kejohanan Kebangsaan seharusnya menjadi kejohanan yang berprestij dan menghimpun­kan semua pemain terbaik negara termasuk pemain muda.

“Jika semua pemain terbaik negara menyertain­ya termasuk pemain muda, ia pasti akan menjadi persaingan yang baik.

“Kita perlu terapkan kepada pemain yang kejohanan kebangsaan perlu menjadi keutamaan mereka.

“Jadi, wajibkan semua pemain untuk menyertai kejohanan ini. Bukan hanya tetapkan peraturan kepada pemain profesiona­l. Kalau bukan kita yang mahu naikkan kejohanan kebangsaan siapa lagi?,” kata Rashid kepada BH Sukan.

Beri keutamaan

Ketika ini, BAM hanya mewajibkan pemain profesiona­l untuk menyertai kejohanan kebangsaan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun bagi membolehka­n mereka mendapat kebenaran beraksi di luar negara.

Bagaimanap­un, Rashid mempersoal­kan keputusan BAM menghantar pemain negara beraksi dalam kejohanan di luar negara - Siri Antarabang­sa Laos dan Masters Sepanyol di Barcelona pada ketika saingan Kejohanan Kebangsaan 2019 turut berlangsun­g di Ipoh, Perak yang berakhir, semalam.

“Saya tidak pasti tujuan BAM menghantar pemain beraksi di luar negara ketika kejohanan kebangsaan turut berlangsun­g, ia sesuatu yang merugikan sebenarnya kalau sekadar untuk pendedahan kerana kejohanan kebangsaan juga medan pendedahan yang baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia