Berita Harian

Fauzi terima takdir

Jurulatih PDRM ‘direhatkan’ susulan prestasi buruk pasukan

- Oleh Zulfaizan Mansor

Mohd Fauzi Pilus menjadi jurulatih pertama ‘direhatkan’ musim ini susulan prestasi kurang memuaskan PDRM selepas empat perlawanan Liga Perdana.

PDRM berada di kedudukan ke-11 dalam carta liga selepas hanya mencatatka­n satu keputusan seri ketika berdepan Negeri Sembilan pada 9 Februari lalu selain tewas tiga kali.

Fauzi ketika dihubungi BH Sukan semalam mengesahka­n berita dia direhatkan dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

“Saya berlapang dada (menerima keputusan) dan saya sudah buat yang terbaik. Apa nak kata lagi, ia biasa dalam bola sepak apabila keputusan sudah dibuat, saya terima seadanya.

“Kami sudah tonjolkan permainan, cuma jaringan tidak menjelma dan keputusan tiada (tidak menang), jadi jurulatih akan bertanggun­gjawab. Selagi khidmat saya diperlukan saya akan bantu (pasukan), tiada masalah.

Bukan teruk

“Permainan dalam empat perlawanan pertama kami bukan teruk, cuma tidak bernasib baik dan tiada rezeki kerana perkara paling penting dalam bola sepak ini adalah jaringan.

“Saya dimaklumka­n pihak pengurusan membuat keputusan semalam. Apapun saya tiada masalah dan tetap akan berada di belakang pasukan,” katanya.

PDRM tewas 1-3 kepada UITM FC pada aksi pembukaan liga, 2 Februari lalu sebelum seri 1-1 dengan Negeri Sembilan selain tewas 0-1 kepada Pulau Pinang dan Selangor United.

Fauzi sebelum ini membimbing PDRM pada 2014 hingga 2017 sebelum tugasnya itu diambil alih Zulhamizan Zakaria hingga 2018.

Dia kemudian dilantik kembali sebagai ketua jurulatih skuad The Cops pada pertengaha­n musim lalu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia