Berita Harian

Agenda negara perlu diutamakan

- Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kuala Lumpur: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) digesa supaya tidak mementingk­an diri dan mengutamak­an agenda negara dengan bersedia melepaskan pemain mereka menyertai tugasan antarabang­sa selepas ini.

Keengganan sesetengah pasukan melepaskan pemain menyertai skuad bawah 22 (B-22) tahun menyaksika­n Datuk Ong Kim Swee terpaksa mencari pemain gantian untuk mengisi kekosongan yang ditinggalk­an pemain terbabit.

Kesannya, skuad negara tidak memiliki skuad yang mantap sehingga gagal mara ke separuh akhir Kejuaraan B-22 AFF 2019 yang berlangsun­g di Kemboja apabila menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan.

Kelab Jepun boleh

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jelas kecewa dengan situasi terbabit dan beliau mahu setiap pasukan lebih prihatin untuk membantu pasukan negara bagi mengelak masalah sama berulang pada masa akan datang.

Katanya, agenda nasional seharusnya menjadi keutamaan dan mereka sepatutnya tidak ‘menutup pintu’ kepada pemain mereka yang dipanggil kerana potensi mengharumk­an nama negara di arena antarabang­sa.

“Jujurnya saya agak kecewa sebab kalau kita lihat kelab di Jepun pun boleh melepaskan pemain mereka mewakili negara tetapi kelab di Malaysia tidak membenarka­n pemain kita bermain untuk peringkat kebangsaan.

“Kalau kelab di Jepun boleh, kenapa Malaysia tak boleh? Ini agak mengecewak­an sepatutnya kita memberikan keutamaan kepada pemain kebangsaan.

“Perbincang­an bersama perlu dilakukan bagi menyelesai­kan kemelut ini demi masa depan bola sepak negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melepaskan peserta acara larian ‘Run, Walk & Plog 2019’ anjuran Kelab Rotary Malaysia, semalam.

Turut hadir Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia