Berita Harian

Peniaga enggan pindah

Perhimpuna­n aman bantah tindakan MPT henti operasi Tamu Takada

- Oleh Abdul Rahemang Taiming

Kira-kira 100 peniaga Tamu Takada, di sini berhimpun secara aman pagi semalam bagi membantah arahan Majlis Perbandara­n Tawau (MPT) yang meminta mereka berpindah ke lokasi baharu dalam masa terdekat.

Difahamkan, majoriti peniaga tidak bersetuju dengan arahan itu dan enggan berpindah selain menyifatka­n tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebagai langkah yang tidak sesuai.

Berdasarka­n surat dikeluarka­n syarikat konsesi yang bertanggun­gjawab menguruska­n pasar mingguan itu, operasi Tamu Takada akan ditamatkan pada 3 Mac ini dan peniaga tidak lagi dibenarkan menjalanka­n perniagaan selepas diarahkan berpindah oleh MPT.

Jurucakap peniaga, Hussien Ahmad, 53, berkata mereka kecewa dengan cadangan MPT yang mahu memindahka­n Tamu Takada yang sudah beroperasi lebih 30 tahun itu, yang menjadi punca rezeki mereka sejak sekian lama.

“Ada lebih 800 peniaga di sini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk yang datang dari Merotai, Balung dan Apas, malah ada yang datang dari Kalabakan untuk mencari rezeki.

“Jadi, kami bertegas untuk terus kekal di sini dan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Tamu Takada strategik, dapat sambutan

Seorang lagi peniaga, Razlina Mat Nor, 56, berkata mereka tidak menghalang jika MPT mahu mewujudkan lokasi baharu iaitu Tamu Sabindo Street, sama seperti Gaya Street di Kota Kinabalu sebagai tarikan pelanconga­n, namun Tamu Takada perlu dikekalkan.

“Lokasi Tamu Takada amat strategik dan mendapat sambutan penduduk setempat. Jadi, ia wajar dikekalkan. Kami amat berharap MPT memahami perkara ini,” katanya.

Bagi Badar Hayani Mohd Barak, 54, masalah kesesakan lalu lintas dan isu sampah yang dibangkitk­an tidak timbul kerana mereka turut menyediaka­n tong sampah selain mendapat kerjasama pihak Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) untuk mengawal lalu lintas.

“Kami juga sudah memanjangk­an isu ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk Jimmy Wong Sze Phin, supaya arahan berpindah ini dikaji semula,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pengunjung mahu pasar yang hanya beroperasi setiap Ahad itu dikekalkan.

Bagi Salmiah Salleh, 58, selain faktor lokasi, tamu itu juga menjual pelbagai barang keperluan harian pada harga murah lagi berpatutan.

“Saya suka berbelanja di sini pada hujung minggu kerana banyak pilihan, ada sayur, ikan dan ketam yang segar,” katanya.

 ?? [FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING /BH] ?? Sebahagian peniaga Tamu Takada di Tawau berhimpun secara aman sebagai membantah arahan berpindah ke lokasi baharu ditetapkan MPT.
[FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING /BH] Sebahagian peniaga Tamu Takada di Tawau berhimpun secara aman sebagai membantah arahan berpindah ke lokasi baharu ditetapkan MPT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia