Berita Harian

Pastikan anak diberi imunisasi

-

Kota Kinabalu: Ibu bapa di negeri ini perlu memastikan semua anak mereka mendapat imunisasi termasuk untuk campak yang kini menjadi wabak di Filipina.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata jika semua anak mendapat imunisasi campak, ia akan memberikan imuniti kelompok sekali gus menghalang wabak campak daripada merebak.

“Apa yang menjadikan wabak campak tidak terkawal di Filipina ialah kerana ibu bapa tidak memastikan anak mereka diberi imunisasi,” katanya mengulas langkah diambil Jabatan Kesihatan bagi menghalang penularan wabak campak di Sabah, di sini, semalam.

Cegah penyakit

Beliau berkata, pencegahan terbaik bagi mengelak penyakit campak adalah melalui imunisasi dan ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu bagi memastikan penyakit yang mudah merebak seperti campak dapat dikawal.

Semalam, Menteri Kesihatan dan Kesejahter­aan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementeria­n Kesihatan untuk melaksanak­an pemberian imunisasi kepada semua bayi dan kanak-kanak di Sabah tanpa mengira warga negara.

Langkah itu bagi memastikan wabak campak di Filipina yang setakat ini dilaporkan sudah meragut 189 nyawa dengan lebih 11,000 orang disahkan dijangkiti virus campak tidak merebak di negeri ini.

Berdasarka­n laporan, kematian akibat wabak itu di Filipina kebanyakan­nya membabitka­n kanak-kanak yang tidak pernah mendapat imunisasi.

Wabak itu dibimbangi merebak ke Sabah berikutan kedudukan negara berkenaan yang dekat dengan negeri ini selain ramai rakyatnya berulang alik di antara Sabah dan wilayah selatan Filipina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia