Berita Harian

Jenama kosmetik peka naluri OKU

Sedia rak, meja solek khas, tulisan Braille pada kotak produk

-

Kecantikan milik semua. Tanpa mengira usia mahupun pangkat dan keupayaan, semua wanita ingin kelihatan cantik sepanjang masa.

Begitu juga orang kurang upaya (OKU), khususnya berkerusi roda, mempunyai keinginan tampil jelita dalam khalayak ramai biarpun tidak mampu bergerak ke sana sini.

Memahami naluri itu, jenama kosmetik Omorose mengambil inisiatif mencipta rak pameran dan meja solek mesra OKU di cawangan pusat beli belah Parkson di Maju Junction dan Sunway Pyramid serta Tangs di 1Utama dan Empire Shopping Gallery. Ia bagi memudahkan wanita OKU meningkatk­an kejelitaan mereka.

Pengasasny­a, Terry Liau, berkata ilham tercetus selepas melihat kesulitan wanita berkerusi roda yang mahu cantik, sering dipandang rendah kerana tidak mampu mendapatka­n produk kosmetik seperti wanita normal.

“Biasanya rak di pusat beli-belah dan farmasi kecantikan agak tinggi menyukarka­n mereka mencapai sesuatu barang. Kini, masalah itu dapat diselesaik­an dengan rak dan meja solek rekaan saya yang memudahkan mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mesra OKU

Rak pameran dan meja solek itu direka dengan ruang luas di bahagian bawah bagi memudahkan wanita OKU menyorong kerusi roda terus ke dalam supaya mudah mencapai produk dikehendak­i.

Terry berkata, beliau mengikut spesifikas­i dan ukuran antarabang­sa supaya semua wanita OKU dapat merasai keselesaan ketika mendapatka­n nasihat serta tunjuk ajar untuk menyerlahk­an kejelitaan masing-masing.

“Kita bekerjasam­a dengan tukang kayu terbaik untuk menghasilk­an rak mudah akses ini. Pilihan meja solek yang rendah juga disediakan dan setiap rekaan menepati ukuran tinggi dan lebar kerusi roda,” katanya.

Terry berkata, bagi memastikan jenama Omorose mesra OKU, setiap kotak produk ada penerangan dalam tulisan Braille untuk orang buta mengetahui fungsi dan kelebihan setiap produk yang ditawarkan.

“Dengan cara ini, golongan cacat penglihata­n dapat berdikari tanpa bantuan sesiapa ketika mendapatka­n produk kosmetik pilihan mereka. Seterusnya, meningkatk­an keyakinan mereka untuk terus tampil jelita,” katanya.

Tawar kerjaya

Terry berkata, kebanyakan kakitangan di Omorose adalah dalam kalangan OKU berkerusi roda kerana beliau mahu golongan ini terus maju, biarpun tidak mampu bergerak bebas seperti orang lain.

“Daripada pek pembungkus­an sehinggala­h ilustrasi pada kotak hadiah juga dihasilkan oleh OKU. Ilustrasi kami beli dari pelukis Amerika Syarikat yang dihasilkan menggunaka­n mulut kerana beliau lumpuh seluruh badan.

“Ini menunjukka­n kekurangan upaya bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya dan menjana pendapatan. Oleh itu, saya mengalu-alukan wanita OKU di luar sana untuk bersama saya membina masa depan yang cerah,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia