Berita Harian

Masyarakat kena bantu elak ulang jenayah lampau

-

Ramai beranggapa­n tugas menghukum pesalah terletak pada mahkamah atau agensi kerajaan yang lain. Sebenarnya, tugas ini juga diberikan kepada masyarakat untuk turut sama membantu kerajaan menghukum pesalah. Bagaimanap­un, masyarakat sebenarnya mempunyai beban yang lebih, selain menghukum, iaitu untuk membantu pesalah agar dapat diserap dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat secara umumnya.

Antara sebab pesalah jenayah mengulangi jenayah lampau adalah kerana masyarakat memboikot mereka daripada menjadi sebahagian masyarakat setempat. Situasi ini terjadi kerana ada stigma yang melekat dalam minda masyarakat bahawa pesalah ini orang jahat, tidak baik dan pelbagai label negatif.

Sesetengah masyarakat yang tiada pengalaman peribadi atau kerja dalam kes jenayah, vandalisme, mat rempit dan sebagainya merasakan pesalah memilih untuk menjadi begitu. Walhal banyak faktor perlu dilihat dan diselidik di sebalik kesalahan yang mereka lakukan.

Antara faktor penyumbang ialah keadaan yang memaksa mereka melakukan kesalahan itu seperti dipaksa, kejahilan atau sudah diajar oleh ibu bapa berbuat sedemikian seperti mencuri barang di kedai. Lagi satu, antara kesalahan jenayah syariah di Malaysia ialah pelacuran. Pelacuran juga berlaku apabila suami sendiri melacurkan isteri atau anak perempuann­ya.

Dalam hal begini, isteri atau anak perempuan tidak dikira penjenayah tetapi sebaliknya mangsa jenayah. Dalam undang-undang Islam, salah satu elemen asas atau syarat untuk dikategori­kan pesalah jenayah ialah guilty mind atau niat jahat yang boleh bawa hukuman asal seperti hudud dan qisas.

Sehubungan itu wajar untuk kita mendidik masyarakat supaya jangan memandang serong kepada bekas banduan atau pesalah jenayah sama ada syariah atau sivil. Pasti ada segelintir pesalah jenayah tegar dan mengulangi perbuatan mereka. Mungkin juga ramai yang mahu pulang ke pangkal jalan dan menjalani hidup seperti biasa.

Beri peluang, sokongan moral

Agensi kerajaan sama ada pada peringkat persekutua­n atau negeri seperti masjid, rumah kebajikan, majlis perbandara­n dan sebagainya untuk turut sama terbabit dalam ‘menghukum’ pesalah jenayah syariah di samping memberi peluang dan sokongan moral untuk mereka menjadi orang baik. Integrasi antara masyarakat dan pesalah jenayah adalah satu bentuk mekanisme untuk menjadi sebuah negara dan masyarakat bertamadun.

Dalam satu aspek lain, jenayah itu boleh dikategori­kan satu bentuk pelanggara­n hak dan hubungan sesama manusia. Contoh jenayah menjurus ke arah itu adalah membunuh ( jenayah berat) atau vandalisme ( jenayah ringan). Justeru, amat wajar mengadakan mekanisme di mana masyarakat setempat turut sama menghukum dan memulihkan hubungan.

Meminta maaf, membayar pampasan atau ganti rugi, khidmat kaunseling dan pertemuan antara mangsa dan pesalah adalah satu kaedah untuk memulih keadaan kepada asal, aman dan harmoni. Adalah wajar untuk masyarakat turut sama membentuk serta memberi sokongan kepada pesalah jenayah syariah di Malaysia agar mereka jadi lebih baik.

Lagipun fitrah manusia bersifat kemasyarak­atan; saling memerlukan. Tiada manusia tidak melakukan kesilapan. Jauhi juga sifat suka menghukum dan melabel. Kadangkada­ng manusia hebat sekarang adalah mereka yang pernah lakukan kesilapan pada masa lalu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia