Syor tubuh pangkalan data khas rumah mampu milik
Langkah selesai masalah perlu ditangani hanya 1 pihak
Peserta industri dan penganalisis dalam sektor hartanah mencadangkan kerajaan mewujudkan pangkalan data khas yang hanya ditangani oleh satu pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu rumah mampu milik di negara ini.
Agensi atau badan berkenaan akan berperanan untuk mengumpulkan data berkaitan yang memfokuskan kepada permintaan, bekalan serta membangunkan rumah mampu milik berdasarkan keperluan kumpulan yang disasarkan.
Presiden Persatuan Ejen Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail, berkata masalah rumah mampu milik di Malaysia masih berterusan disebabkan ada jurang perbezaan mengenai tafsiran kemampuan memiliki dan rumah mampu milik.
“Definisi rumah mampu milik pada masa ini tidak jelas dan bersifat umum mengikut tafsiran berbeza antara Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan pemaju sendiri.
“Sedangkan definisi berkenaan harus merangkumi keseluruhan aspek dan mengikut keperluan setiap golongan seperti pembeli yang baharu mendapatkan pekerjaan, pasangan baru berkahwin, golongan berpendapatan rendah, pembeli rumah pertama dan sebagainya.
“Pada hari ini, ada kepelbagaian julat harga bagi rumah mampu milik yang ditetapkan pemaju dan ia dilihat lebih membebankan kumpulan sasar, terutama dalam mendapatkan pinjaman perumahan,” katanya ketika dihubungi BH.
Pemaju keliru
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, juga berpendapat, pemaju hartanah tempatan turut berdepan kekeliruan bagi penetapan harga rumah mampu milik yang dibangunkan.
“Sebagai pemaju, kami juga perlu mengambil kira aspek lokasi, rekaan binaan selain kos lain berkaitan. Justeru, jika ada satu penetapan mengenai harga rumah mampu milik, ia sekurang-kurangnya boleh menjadi garis panduan kepada pemaju.
“Selain itu, turut difokuskan kepada isu pembiayaan kerana ia memberi kesan secara langsung kepada pembeli,” katanya.
Penanda aras
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Ho Hon Sang, berkata cadangan kerajaan untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia bagi menyelesaikan isu rumah mampu milik di negara ini adalah tepat pada masanya sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.
“Langkah itu dijangka boleh membantu menangani masalah penetapan harga rumah mampu milik dalam kalangan pemaju, sekali gus memberi satu tanda aras kepada peserta industri.
“Pada masa ini, tiada definisi yang jelas mengenai perkara itu dan ia akan menimbulkan kekeliruan terhadap pemaju, mahu pun pembeli,” katanya. Presiden PEHAM