Rahim & Co tinjau pasaran ASEAN, Asia Pasifik
Rahim & Co International Bhd, perunding pelaburan hartanah antarabangsa, merancang memperluaskan kehadirannya di pasaran luar negara dengan menembusi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik.
Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata firma itu kini meninjau Vietnam, Kemboja, China dan Hong Kong sebagai destinasi pelaburan seterusnya memandangkan penduduknya yang ramai dan permintaan yang tinggi terhadap hartanah.
“Sudah tentu, untuk ke luar negara bukanlah murah. Bagi membuka pejabat di Vietnam kami mungkin perlu membelanjakan kira-kira RM500,000, manakala untuk berkembang ke Hong Kong dan Singapura, kami mungkin memerlukan kira-kira AS$1 juta setiap satu.
“Semua ini perlu dipertim- bangkan. Kalau boleh, kami ingin mencari rakan kongsi (di negaranegara berkenaan),” katanya baru-baru ini.
Rancangan di luar negara
Abdul Rahim berkata, Rahim & Co merancang membuka sekurang-kurangnya dua atau tiga cawangan baharu di luar negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa syarikat itu akan berjaya di negara terbabit kerana rekod prestasinya yang baik di pasaran tempatan dan luar negara.
“Bagi saya, secara lojiknya, jika kami berjaya di sini, kenapa tidak boleh mencapai kejayaan sama pada pasaran antarabangsa. Kami mempunyai syarikat dengan struktur yang sangat baik, kami sangat profesional dalam kerja kami, dan kami tidak melihat mengapa kami tidak boleh berjaya dengan pasaran yang lebih besar (antarabangsa).
“Vietnam (contohnya), mempunyai 70 juta penduduk, (lebih daripada) dua kali penduduk negara kita. Jadi, permintaan terhadap perniagaan hartanah dan profesional hartanah ada di sana. Dan jika firma Eropah lain boleh ke Vietnam dan berjaya di sana, kenapa tidak kita?,” katanya.
Setakat ini, Rahim & Co sudah berada di London, Melbourne, Sydney dan Perth yang adalah destinasi pelaburan hartanah yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pasaran hartanah tempatan
Mengenai pasaran hartanah tempatan, Abdul Rahim berkata, pada umumnya, ia agak kurang memberangsangkan dengan segmen mewah pasaran kediaman menghadapi keadaan terlebih pembinaan yang mana penawaran melebihi permintaan.
“Bagaimanapun, bagi pusat bandar seperti Kuala Lumpur, hartanah di bawah RM2 juta masih mendapat permintaan dan pemaju mendapati tidak begitu sukar untuk menjualnya. Masalah kita ialah rumah mampu milik dan saya sangat gembira melihat PR1MA berjaya melakukannya dengan baik buat masa ini.
“Kerajaan perlu mempertimbang untuk melaksanakan skim sewa dahulu, terutama untuk mereka yang baru menamatkan pengajian dan yang baru berkahwin, untuk membantu mereka memiliki rumah sendiri,” katanya sambil menambah bahawa dari masa ke masa, mereka boleh menukar status daripada penyewa kepada pembeli selepas mereka mendapat gaji yang stabil atau menjadi stabil dari segi kewangan.