Berita Harian

Mangsa ragut warga Yaman langgar mati suspek

Peragut miliki tiga rekod jenayah lampau cedera parah di kepala

-

Seorang lelaki nekad mengejar peragut yang meragutnya sebelum melanggar mati suspek berhampira­n persimpang­an lampu isyarat Pangsapuri Garden @One South, dekat Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanap­un, tindakan mangsa ragut warga Yaman itu menyebabka­n dia kemudian ditahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabka­n kematian.

Terdahulu, sebelum kejadian, mangsa yang juga pelajar sebuah universiti di Bangi berusia 20-an itu sedang minum di sebuah restoran mamak di SP2, Serdang Perdana, jam 3.30 pagi dan didatangi suspek menunggang sebuah motosikal lalu meragut beg sandang miliknya.

Mangsa kemudian mengejar suspek dengan menaiki kereta jenis PROTON Preve dan melanggar motosikal ditunggang­i peragut ketika tiba di lampu isyarat belakang Pangsapuri Garden @One South, tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata akibat perlanggar­an itu, suspek rakyat tempatan berusia 25 tahun dan berasal dari Balakong, Batu 9 Cheras itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Perintah reman

“Beg kepunyaan mangsa ditemui bersama si mati (suspek). Di dalam beg itu mengandung­i barangan milik mangsa berupa pasport, ikad dan dompet berisi wang tunai RM2,050 serta AS$500 (RM2,141).

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah, menyebabka­n kecederaan dan melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan perintah reman terhadap lelaki Yaman itu akan dimohon di mahkamah hari ini bagi membolehka­n siasatan lanjut dijalankan.

Beliau dalam pada itu berkata, polis tidak menggalakk­an orang ramai bertindak sendirian kerana ia bukan saja membahayak­an diri sendiri, tetapi juga orang lain.

“Sepatutnya, apa yang perlu dilakukan adalah melaporkan kejadian kepada polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN PDRM] ?? Penjenayah meragut beg sandang milik pelajar universiti maut dilanggar mangsanya, berhampira­n Pangsapuri Garden @One South, semalam.
[FOTO IHSAN PDRM] Penjenayah meragut beg sandang milik pelajar universiti maut dilanggar mangsanya, berhampira­n Pangsapuri Garden @One South, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia