Sabar laksana perintah, jauhi larangan
Setiap Mukmin perlu bersabar dalam melaksanakan ibadah. Membesarkan Allah SWT dan membersihkan diri jasmani dan rohani serta tidak mempersekutukan-nya tanda kesempurnaan iman. Justeru, sifat sabar perlu dalam melaksanakan ibadah dan menjauhi larangan Alla
Allah SWT berfirman
yang bermaksud: “Hai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan. Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah.” (Surah al-mudatsir, ayat 1-7)
Kita sering membaca atau merujuk kepada ayat ini kerana mengetahui cerita ayat ini diturunkan. Mungkin tidak ramai yang tahu ayat ini juga memberi tafsiran sebagai rahsia menyelesaikan masalah.
Nabi Muhammad SAW berselimut kerana perasaan takut melihat rupa malaikat Jibril ketika diturunkan wahyu buat kali pertama. Ayat ini memerintahkan supaya segera bangun dan memperingatkan umat yang masih sesat supaya mengenal jalan yang benar.
Perkataan ‘qum’ (bangunlah) menunjukkan rasul harus rajin dan tidak mengenal putus asa dengan ejekan orang yang tidak menerima seruannya. Rasul tidak boleh malas dan berpeluk tubuh. Begitulah Baginda SAW sejak turunnya ayat ini, tidak pernah berhenti melakukan tugas dakwah.
Bina keperibadian unggul
Hal itu dilakukan sepanjang hidup Baginda. Pelbagai cara dan pendekatan diambil bagi menyampaikan ajaran agama Islam demi kepentingan umat. Demi menyelamatkan mereka daripada azab, Baginda mengajar manusia mengenal Allah SWT dan mengikut perintah Rasulullah SAW.
Berpandukan kepada firman Allah SWT itu, Nabi Muhammad SAW diperintah mengagungkan Allah SWT dengan bertakbir dan menyerahkan segala urusan kepada kehendak-nya. Jangan mencari pertolongan selain kepadanya.
Membesarkan Allah SWT dengan segenap jiwa dan raga serta membina keperibadian unggul, tidak mudah berputus asa. Manusia yang beriman hanya takut kepada Allah SWT.
Sikap itu perlu dihayati oleh seseorang dai (pendakwah) yang tugasnya mengajak manusia ke jalan Allah SWT. Membesarkan Allah SWT bererti mengagungkan-nya dalam ucapan dan perbuatan. Menyerahkan segala urusan hanya kepada-nya.
Beribadah dan membersihkan zat-nya daripada segala yang mempersekutukan-nya dan kepada-nya tempat menggantungkan harapan. Jika dipenuhi semua itu, barulah sempurna penghayatan iman bagi seorang Mukmin.
Allah SWT juga memerintahkan Nabi Muhammad SAW membersihkan pakaian daripada segala najis dan kotoran, kerana bersuci dengan maksud beribadah wajib hukumnya dan untuk perkara selain beribadah adalah sunah.
Begitulah Islam mengharuskan umatnya selalu hidup bersih kerana kebersihan jasmani mengangkat manusia kepada akhlak yang mulia. Membersihkan pakaian bererti membersihkan rohani daripada segala watak dan sifat tercela.
Khusus buat Nabi SAW, ayat ini memerintahkan Baginda menyucikan nilai nubuat (kenabian) yang dipikulnya daripada segala yang mengotorkan seperti sifat dengki, sempit, pemarah dan lain-lain.
Tidak mudah putus asa
Selain itu, hendaklah Baginda SAW bersikap sabar kerana dalam berbuat taat itu pasti banyak rintangan dan dugaan yang dihadapi. Janganlah putus asa kerana tiada perjuangan yang berhasil tanpa pengorbanan seperti perjuangan dilalui nabi dan rasul.
Sabar yang dimaksudkan ialah sabar melakukan ketaatan, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, ketika menghadapi musuh, berdepan dugaan, menerima ketetapan (qadar) dan menikmati kemewahan hidup di dunia.
Kesimpulannya, kita hendaklah bersabar melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.
Berbekalkan sifat sabar ini sesuatu perjuangan dijamin akan berhasil seperti yang dilakukan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW.
Beribadah dan membersihkan zat-nya daripada segala yang mempersekutukannya dan kepada-nya tempat menggantungkan harapan. Jika dipenuhi semua itu, barulah sempurna penghayatan iman bagi seorang Mukmin”