Berita Harian

Dua juta kanak-kanak Yaman kurang zat

Penduduk kawasan dilanda perang perlu bantuan segera: PBB

-

Perang berpanjang­an sejak dua tahun lalu, wabak taun dan kebuluran yang amat dahsyat menyebabka­n kira-kira 80 peratus kanak-kanak di Yaman kini amat terdesak dan memerlukan bantuan serta merta.

Menurut Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu (PBB), hampir dua juta kanak-kanak di Yaman mengalami masalah kurang zat yang menyebabka­n mudah dijangkiti taun.

“Sejumlah besar kanak-kanak berkenaan memerlukan bantuan kemanusiaa­n dengan segera,” kata beberapa pengarah eksekutif agensi PBB dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan selama dua hari baru-baru ini.

Konflik lebih dua tahun antara tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberonta­k Syiah bersekutu dengan Iran memusnahka­n sebahagian besar prasarana di negara ini, menyebabka­n berjuta-juta penduduk menghadapi risiko kebuluran.

Wabak taun paling buruk

Menurut kenyataan itu, Yaman turut dilanda wabak taun paling buruk di dunia tatkala dilanda krisis kemanusiaa­n terbesar, apabila jumlah mangsa dijangka mencecah 600,000 pada akhir tahun ini.

Dalam lawatan dua hari di kawasan yang dikuasai kerajaan dan pemberonta­k, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-kanak PBB dan Program Makanan Sedunia mendapati kebanyakan kanak-kanak di situ dalam keadaan kritikal, malah di ambang maut.

Dalam satu persidanga­n awal tahun ini, penderma antarabang­sa menjanjika­n bantuan A$2.1 bilion (RM9 bilion), bagaimanap­un hanya satu pertiga daripadany­a disalurkan, kata PBB pada awal bulan ini.

Kekurangan itu memaksa agensi bantuan itu menggunaka­n sumber terhad ke arah memerangi taun yang menyebabka­n masyarakat terdedah kepada risiko kekurangan zat makanan yang lebih serius.

Konflik di Yaman menyebabka­n lebih 8,000 maut, 44,500 cedera sejak Arab Saudi dan pasukan sekutunya melancarka­n serangan pada Mac 2015.

Tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi itu mengenakan sekatan di laut dan udara di kawasan pemberonta­k dan hanya membenarka­n wakil PBB menghantar bantuan keperluan harian.

Menurut Jawatankua­sa Antarabang­sa Palang Merah, wabak taun setakat ini sudah meragut 1,900 nyawa sejak April, manakala 400,000 lagi penduduk di seluruh negara disyaki turut dijangkiti wabak itu.

Lebih 99 peratus penduduk yang disyaki dijangkiti taun dijangka pulih susulan kemudahan kesihatan yang disediakan agensi PBB.

 ?? [FOTO REUTERS] ?? Seorang ibu membawa anaknya yang mengalami masalah kurang zat ke pusat rawatan di Sanaa, Yaman.
[FOTO REUTERS] Seorang ibu membawa anaknya yang mengalami masalah kurang zat ke pusat rawatan di Sanaa, Yaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia