Berita Harian

Selangor bayar harga mahal

Hilang khidmat Rufino selepas kecewakan Terengganu

- Oleh Faizul Azlan Razak

Selangor terpaksa membayar harga mahal di sebalik kejayaan menewaskan Terengganu 3-2 dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia, malam kelmarin apabila penyerang import Rufino Segovia yang menyumbat gol kemenangan, cedera hamstring.

Pengendali Selangor, P Maniam mengakui terkesan dengan kecederaan yang menimpa penyerang berusia 32 tahun itu kerana terpaksa melupakan khidmat pemain kelahiran Sepanyol itu pada aksi menentang Sarawak, esok.

“Saya tidak pasti berapa lama Rufino terpaksa disisihkan tetapi apa yang pasti dia tidak dapat diturunkan menentang Sarawak, Selasa ini. Saya juga akan melakukan penggilira­n pemain bagi memastikan pemain lain mendapat rehat secukupnya berikutan jadual padat,” katanya.

Dalam perlawanan malam kelmarin, Rufino menyumbat gol kemenangan pada hujung perlawanan sekali gus membantu juara 33 kali itu mara ke suku akhir.

Berhak menang

Maniam berkata pasukannya berhak memenangi perlawanan itu sekalipun pada permulaan tidak bermain dengan baik dan banyak melakukan kesilapan selain gagal mencipta peluang.

Bagaimanap­un, katanya sebaik bermula babak kedua anak buahnya mula menunjukka­n kemahuan dan bangkit untuk mencipta jaringan menerusi beberapa peluang dengan berjaya meraih kemenangan.

“Kejayaan ini juga hadiah kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan selain buat Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal kerana sentiasa berusaha dalam membantu pasukan dalam aspek kebajikan dan tajaan,” katanya.

 ??  ?? Rufino terpaksa melupakan aksi menentang Sarawak esok akibat kecederaan hamstring.
Rufino terpaksa melupakan aksi menentang Sarawak esok akibat kecederaan hamstring.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia