Berita Harian

17 syor selesai kemelut kemanusiaa­n makin runcing

-

Kuala Lumpur: Permanent People’s Tribunal (PPT) mengemukak­an 17 syor, merangkumi tujuh aspek dalam merungkai kemelut isu kemanusiaa­n yang semakin meruncing di Myanmar.

Ia merangkumi pemansuhan Perlembaga­an Myanmar 2008 yang disifatkan mempunyai unsur diskrimina­si, selain gerakan menukar struktur demografik republik itu menerusi penyingkir­an umat Islam secara sistematik.

Hakim, Gill H Boehringer, berkata akta diskrimina­si lain yang wajar dipinda atau dimansuhka­n Kerajaan Myanmar adalah Undang-undang Kewarganeg­araan 1982.

Katanya, perundanga­n itu adalah punca etnik Rohingya, Kachin dan kumpulan minoriti Muslim lain di republik berkenaan ditindas, sehingga mereka menjadi pelarian serta membanjiri negara jiran.

“Proses pengesahan yang diutarakan (Kaunselor Negara Myanmar) Aung San Suu Kyi harus memberi jaminan bahawa setiap individu yang dilahirkan di Myanmar berhak mendapat status kewarganeg­araan.

“Menerusi pindaan Perlembaga­an Myanmar 2008, perwakilan tentera dalam institusi Parlimen Myanmar perlu dimansuhka­n, dengan lantikan dibuat secara demokratik.

“Selain itu, pengurusan pasukan tentera dan polis wajar diletakkan mengikut bidang kuasa awam,” katanya ketika membacakan penghakima­n PPT, semalam.

ASEAN, Myanmar perlu runding

Boehringer berkata, ASEAN dan Myanmar perlu menjalanka­n rundingan dengan semua kumpulan bersenjata di republik berkenaan sebagai langkah awal perdamaian.

Katanya, rundingan itu diharap berupaya menjurus kepada usaha gencatan senjata antara pihak bertelagah dan mewujudkan Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan utara wilayah Rakhine.

“Berikan visa dan akses penuh kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi menyiasat dakwaan penindasan serta jenayah perang yang dikatakan berlaku di Myanmar.

“Jika dakwaan ini didapati benar, Myanmar mesti menghukum pengkhiana­t yang menjadi dalang penindasan hak asasi manusia, genosid, rogol dan keganasan terhadap etnik Rohingya, Kachin serta kumpulan minoriti Islam lain.

“Mana-mana anggota pihak berkuasa, termasuk tentera yang didapati bersalah melakukan kekejaman ini pula tidak seharusnya terkecuali daripada hukuman setimpal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia