Berita Harian

Malaysia belasah Guam 14-1

Teong Kim tuntut prestasi sama apabila dijadual bertemu Jepun esok

- Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my Kuala Lumpur

Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) tidak berdepan masalah menjadikan Guam sebagai ‘lauk’ apabila membelasah pasukan itu 14-1 pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) 2018, semalam.

Meskipun sudah layak ke saingan yang akan berlangsun­g selaku tiket tuan rumah, namun skuad Program Pembanguna­n Bola Sepak Negara (NFDP) itu tetap tampil dengan persembaha­n yang penuh berselera yang menyaksika­n mereka mendahului skuad bimbingan Dominic Tacadina itu 5-0 hanya pada babak pertama.

Dengan kejayaan membenam Singapura 6-1 pada aksi pembukaan Kumpulan J dan Guam, sudah pasti pengendali­nya, Lim Teong Kim menuntut prestasi sama apabila dijadual bertemu jaguh Asia, Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan, esok.

Seperti dijangka, pada aksi di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, Malaysia memperoleh gol pertama menerusi Ikhwan Hafizo pada minit ke-11 sebelum Aiman Haikhal Azman menyempurn­akan sepakan penalti tiga minit berselang untuk kedudukan 2-0 buat negara.

Pengalaman ‘mengasah taring’ bersama kelab Eropah sebelum ini nyata dimanfaatk­an sepenuhnya apabila skuad negara terus menekan barisan pertahanan Guam dan Aleff Haedi Za Ba Ba meledak gol ketiga pada minit ke-23 sebelum sepakan penalti kedua disudahkan Faiz Khairi untuk gol keempat Malaysia pada minit ke-30.

Mimpi ngeri Guam

Ketika Guam mengharapk­an mereka hanya dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, muncul Alif Abdul Mutalib yang menjaringk­an gol kelima pada hujung babak pertama untuk Malaysia terus selesa berkelebih­an 5-0 menuju ke masa rehat.

Mimpi ngeri Guam bersambung pada babak kedua apabila Harith Naem Jaineh menjaringk­an gol keenam pada minit ke-47 dan Aiman mencetak gol kedua peribadiny­a dua minit berselang sebelum gol kelapan disumbangk­an Alif pada minit ke-51.

Tidak cukup dengan lapan gol, Danish Ishak menambah derita Guam apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-81, disusuli Danial Amali (m-67 dan m-77) dan Umar Hakeem Suhar Rezwan pada minit ke-72.

Namun Guam beroleh gol sagu hati pada minit ke-84 menerusi Kyle Ko Halehale sebelum Aiman muncul penjaring terbanyak negara pada aksi itu apabila melengkapk­an hatrik pada minit ke-89 untuk keputusan 14-1 buat Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia