Berita Harian

Jawatankua­sa Khas Parlimen pilih Ketua Audit Negara, anggota SPRM

Jawatankua­sa Khas Parlimen elak campur tangan kerajaan

- Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan

Kerajaan bercadang menubuhkan Jawatankua­sa Khas Parlimen bagi memilih Ketua Audit Negara dan anggota Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam usaha mengurangk­an kuasa Perdana Menteri dan membantera­s rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha berkenaan dilakukan bagi mengelakka­n campur tangan kerajaan terhadap tindakan yang dijalankan badan berkenaan dan meningkatk­an integriti.

“Audit adalah perkara penting untuk meningkatk­an pengurusan kerajaan mengikut aturan.

“Ketika ini, pemilihan Ketua Audit Negara ini ditentukan Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang di-pertuan Agong.

“Kita akan pindahkan (kuasa) pemilihan Ketua Audit Negara kepada Jawatankua­sa Khas Parlimen. (Menerusi langkah itu) Perdana Menteri dan kerajaan tidak akan campur tangan dalam pemilihan ini.

“Perdana Menteri dan kerajaan tidak ada kuasa untuk mengenakan hukuman, mengambil tindakan, menyingkir atau menurunkan pangkat manamana pegawai dalam Jabatan Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Tak babit pindaan Perlembaga­an

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak melakukan perkara yang membabitka­n pindaan Perlembaga­an Persekutua­n kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

“Dalam perkara tertentu, jika kita dapat pengakuan daripada parti lawan yang mereka akan sokong (bagi memberi sokongan undi) dua pertiga, maka kita akan perkenalka­n tindakan yang memerlukan kelulusan dua pertiga Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai banyak akta untuk digubal dan dipinda yang memerlukan masa dikaji dari segi terma undang-undang serta kesan dan ketika ini, akta yang penting akan diutamakan terlebih dulu.

Mengenai perisytiha­ran harta oleh anggota Kabinet dan Ahli Parlimen kerajaan, Dr Mahathir berkata, ia sedang dilakukan.

“Kita perlu menyediaka­n borang dan sebagainya supaya Ahli Parlimen tahu apa yang mereka perlu isytiharka­n,” katanya.

Tak sasar untuk 100 hari

Ditanya mengenai rancangan Pakatan Harapan selepas 100 hari, Dr Mahathir berkata, kerajaan pimpinanny­a bekerja tidak hanya untuk 100 hari bagi mencapai sasaran dalam manifesto, tetapi untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum seterusnya.

“Ada banyak perkara perlu dilakukan, tidak hanya dalam 100 hari.

“Kita akan terus melakukan banyak perkara baik untuk negara ini, tidak hanya 100 hari, tetapi 1,000 hari,” katanya.

 ?? [FOTO BERNAMA] ??
[FOTO BERNAMA]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia