Berita Harian

Tiada makna gaji lebih, kuasa beli kurang: Dr M

Peningkata­n upah tak beri kesan jika kos sara hidup terus naik

-

Negara kaya seharusnya mempunyai rakyat yang punya kuasa beli yang meningkat, bukan hanya kadar gaji atau upah yang tinggi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata walaupun gaji atau upah dinaikkan hingga 10 atau 25 peratus, ia tidak mendatangk­an apa-apa kebaikan jika peningkata­n itu disusuli dengan kenaikan kos sara hidup.

“Tiada makna jika gaji kita lebih tetapi daya beli kita sama dengan sebelum gaji kita dinaikkan,” katanya ketika berucap pada perhimpuna­n bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Mengambil contoh sebuah negara jiran, Dr Mahathir berkata walaupun negara itu mempunyai kadar gaji atau upah yang tinggi mengikut kadar mata wang mereka, negara berkenaan bukan negara kaya.

“Tetapi apa guna kita jadi jutawan kalau daya beli kita hanya setakat di tepi jalan,” katanya.

Bagaimanap­un, Dr Mahathir berkata daya beli rakyat juga bergantung kepada produktivi­ti atau daya keluaran yang meningkat, seiring dengan pendapatan dan upah.

Katanya, jika daya keluaran kurang atau masih pada tahap lama walaupun gaji meningkat, kos sara hidup akan terus meningkat kerana barangan lama yang dahulunya murah akan menjadi mahal akibat dihasilkan oleh pekerja bergaji tinggi.

Kos produksi meningkat

“Kos produksi akan meningkat dan kos sara hidup akan meningkat. Walaupun gaji meningkat hingga 25 peratus, tetapi daya beli kita tidak meningkat 25 peratus.

“Dengan itu, kita sekali lagi memohon supaya ditambah gaji dan upah tetapi kalau (gaji) ditambah tanpa daya keluaran meningkat, jumlah wang yang kita dapat tidak akan mempunyai apa-apa makna sekali pun,” katanya.

Justeru, katanya, nilai hidup mulia perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat, terutama generasi muda, supaya Malaysia dikenali sebagai negara yang bekerja kuat, tidak mungkir janji atau tidak meminta upah lebih, sebaliknya menumpukan daya keluaran yang tinggi.

“Jika pemerintah­an kerajaan dapat memiliki kualiti terbaik dan kerja kita menghasilk­an pentadbira­n terbaik dalam dunia ini, maka percayalah walaupun kita terpaksa berdiri dalam panas dan mendengar syarahan berleter daripada Perdana Menteri tetapi hasilnya mungkin baik juga,” katanya secara berseloroh.

Mengakui dirinya sudah berusia dan tidak boleh bekerja dalam tempoh lama, Dr Mahathir berkata beliau berharap dapat menyemaika­n nilai hidup mulia kepada penjawat awam yang akan menjayakan negara supaya sekali lagi dihormati di mata dunia.

Jika daya keluaran kurang atau masih pada tahap lama walaupun gaji meningkat, kos sara hidup akan terus meningkat kerana barangan lama yang dahulunya murah akan menjadi mahal akibat dihasilkan oleh pekerja bergaji tinggi” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Dr Mahathir diiringi Timbalanny­a, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada perhimpuna­n bulanan JPM, di Dataran Putra Perdana, Putrajaya, semalam.
[FOTO BERNAMA] Dr Mahathir diiringi Timbalanny­a, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada perhimpuna­n bulanan JPM, di Dataran Putra Perdana, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia