Berita Harian

KBS rangka program baharu

Kakitangan akan terus dibayar gaji, diserap ke kementeria­n

- Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kabinet memansuhka­n Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu diputuskan dalam dua mesyuarat Kabinet sebelum ini.

“Bagaimanap­un, nasib pegawai, kakitangan dan kakitangan kontrak akan terus dijaga termasuk dibayar gaji, selain diserap ke dalam Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS).

“PLKN dan BTN akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

“Program baharu yang diuruskan KBS itu akan membabitka­n penstruktu­ran semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Syed Saddiq berkata, pengisian program itu dirangka secara holistik dengan menggabung­kan aktiviti dalam dan luar bangunan berimpak tinggi.

Katanya, ia bertujuan menyerlahk­an potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunk­an negara berpanduka­n Perlembaga­an Persekutua­n dan Rukun Negara.

“Elemen yang diterapkan termasuk bina semangat, pembinaan perwatakan dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri serta sosialisas­i politik.

“Penambahba­ikan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia Baharu,” katanya.

Bentuk kolaborasi pelbagai kementeria­n

Beliau berkata, program baharu itu akan membabitka­n kolaborasi merentasi kementeria­n dan agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementeria­n Pembanguna­n Wanita dan Keluarga, Kementeria­n Pertahanan dan Kementeria­n Pendidikan.

“Turut terbabit adalah pertubuhan bukan kerajaan termasuk organisasi belia untuk memperhalu­si mekanisme pelaksanaa­n yang berkesan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, usaha itu turut mencermink­an aspirasi kerajaan untuk memastikan program dilakukan lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik serta perkauman.

PLKN diperkenal­kan pada 16 Februari 2004 bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.

BTN adalah unit di bawah JPM yang ditubuhkan pada 1981 untuk memupuk semangat patriotism­e, membina sikap berteraska­n nilai murni dan penghayata­n cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata inisiatif Program 1Malaysia for Youth (IM4U) yang mempromosi semangat kesukarela­wan belia akan ‘dibaik pulih’ bagi mengembali­kan objektif asal penubuhann­ya.

Katanya, program itu dilihat disalah guna sebagai platform sesetengah pemimpin politik yang menjadikan­nya sebagai medium kempen I Love PM.

Malah, beliau mendakwa banyak dana untuk program berkenaan digunakan untuk tujuan kempen politik

“Ketika IM4U mula ditubuhkan, objektifny­a baik iaitu memastikan semangat kesukarela­wanan dapat disemai dalam jiwa anak muda di negara ini.

“Bagaimanap­un, sepanjang pelaksanaa­nnya, program itu disalah guna,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia