Berita Harian

Percubaan baharu kerjasama UMNO-PAS

-

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 September ini bakal menjadi penanda aras baharu kerjasama UMNO dan PAS yang dilihat gagal dicapai pada PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos lalu.

Walaupun Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Ahli Majlis Syura, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankua­sa Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mahu Pakatan Harapan (PH) dikalahkan di Sungai Kandis, ia tidak disahut majoriti ahli parti.

Jelas, kerjasama atau penyatuan kedua-dua parti tidak boleh dibuat dalam satu malam atau tempoh singkat, sebaliknya mengambil masa lama kerana perbezaan ideologi, selain percanggah­an pendapat sejak sekian lama.

Selepas PAS memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) diwakili UMNO bertanding di Sungai Kandis, giliran UMNO pula memberi laluan kepada PAS ‘menggempur’ PH di Seri Setia bagi merampas kerusi itu daripada PKR.

Jika dinilai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), undi diraih PKR adalah 19,372, diikuti BN (9,878), PAS (4,563) dan Bebas (217). Undi terkumpul BN dan PAS keseluruha­nnya 14,441, jauh ditinggalk­an PKR yang memperoleh 29,250 undi.

Beri laluan kepada PAS

Dari segi jumlah undi, sepatutnya BN bertanding kerusi berkenaan, namun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan lebih awal mengumumka­n parti itu akan memberi laluan kepada PAS.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandang­nya, Prof Dr Shaharuddi­n Badaruddin yang juga EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembanguna­n Modal Insan Selangor meninggal dunia akibat barah usus 2 Ogos lalu.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mengakui untuk menyatukan PAS dan UMNO mengambil masa lama kerana kedua-duanya pernah `bermusuh’ dan `bersengket­a’ hampir 60 tahun walaupun PAS pernah jadi komponen BN dari 1973 hingga 1977.

Jika dilihat keputusan di Sungai Kandis, kerjasama diharapkan masih longgar dan belum sampai ke tahap sekuat tenaga. Namun kini PAS berharap BN bekerja sekuat tenaga membantuny­a merampas Seri Setia, sebagai penanda aras kerjasama politik pada masa depan.

“Ketika ini kerjasama adalah bersandark­an konsep taawun dalam perkara kebaikan dan menentang sesuatu kejahatan terutama untuk membela Islam dan Melayu,” kata Dr Mahfodz.

Ramai ahli PAS mahu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau timbalanny­a, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuka mulut membuat pengumuman mengenai kerjasama keduadua parti kerana selama ini tiada kenyataan rasmi mengenainy­a dikeluarka­n.

Itu juga harapan Pengerusi Jawatankua­sa Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok yang menegaskan, semua pihak sedang menunggu sama ada akan berlaku kerjasama politik kedua-dua parti.

Kerjasama lebih besar

Bagi Timbalan Pesuruhjay­a PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, keputusan UMNO tidak bertanding di Seri Setia penting untuk perpaduan ummah dan ke arah kerjasama lebih besar pada masa depan.

Ia juga, katanya, bukti pembangkan­g kian bersatu menentang PH yang didakwa gagal menunaikan janji serta membelakan­gkan kepentinga­n Melayu dan Islam, selain membolehka­n pembangkan­g lebih kuat dalam DUN Selangor bagi memantau janji manifesto PH pada PRU-14.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir juga bersetuju PRK DUN Seri Setia akan menjadi bukti PAS dan UMNO boleh bersatu demi penyatuan ummah, malah percaya akan ada lagi kerjasama lebih besar selepas ini.

Begitu juga jangkaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang meramalkan kerjasama atau penyatuan politik UMNO dan PAS akan dicapai kurang dua tahun dari sekarang dan dalam tempoh itu, beliau juga yakin PH dapat ditumbangk­an.

Penganalis­is politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir bagaimanap­un tidak melihat akan wujud penyatuan politik UMNO dan PAS kerana kedua-dua parti saling sangsi dan tiada keikhlasan.

“Saya bersetuju penyatuan tidak boleh dibuat dalam masa satu malam, ia mengambil masa lama. Namun dalam konteks hubungan politik PAS dan UMNO, saya percaya era Mohd Asri (bekas Presiden PAS, Datuk Mohd Asri Muda) tidak akan berulang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia