Berita Harian

Peronda lebuh raya TH pantau bas jemaah

Pasukan beroperasi 24 jam, bergantung maklumat PPPKL

-

Jumlah mereka cuma enam orang tetapi semua pergerakan bas untuk membawa jemaah haji Malaysia masuk ke Makkah sama ada dari Madinah atau Jeddah, tidak boleh terlepas daripada pemerhatia­n mereka.

Itu peranan pasukan peronda lebuh raya Tabung Haji (TH) yang berpangkal­an di pejabat operasi TH di al-rayyan di sini, satu lokasi strategik kira-kira 12 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Raja Abdulaziz.

Setakat ini, 648 bas sudah dipantau mereka dengan 364 daripada kenderaan itu membawa jemaah dari Madinah ke Makkah, dua dari Jeddah ke Madinah manakala bakinya dari Jeddah ke Makkah.

Pengarah Operasi TH Jeddah Musim 1439H, Mohamad Zamry Mohd Noor, berkata perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Raja Abdulaziz ke Makkah mengambil masa kira-kira dua jam dengan jarak 97 kilometer (km).

Tempoh perjalanan dari Madinah ke Makkah pula lebih lama iaitu antara tujuh hingga lapan jam sejauh 424km, termasuk masa berhenti di kawasan hentian rehat dan rawat di Zain.

“Pasukan peronda lebuh raya boleh dikatakan beroperasi 24 jam sehari, bergantung kepada jadual pergerakan bas dan maklumat dibekalkan oleh pusat panggilan kecemasan lebuh raya (PPPKL) berpusat di al-rayyan,” katanya di sini.

Mohamad Zamry berkata, kebiasaann­ya satu penerbanga­n dari Malaysia membawa antara 400 hingga 500 jemaah haji dan 11 hingga 13 bas diperlukan untuk membawa mereka ke Makkah.

Sementara itu, Pengurus PPPKL, Shafie Shariff, berkata keseluruha­nnya 893 bas perlu dipantau oleh pasukan peronda lebuh raya sehingga fasa satu (sebelum hari wukuf) berakhir.

Katanya, enam anggota pasukan peronda lebuh raya menggunaka­n dua kenderaan pelbagai guna GMC dan banyak menghabisk­an masa mereka di atas lebuh raya atau hentian rehat dan rawat.

Pantau laluan dari terminal

“Setiap satu GMC ada tiga anggota. Satu GMC memantau pergerakan bas dari Madinah ke Makkah dan satu GMC lagi memantau di laluan dari terminal Jeddah ke Makkah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun nisbah anggota unit peronda itu agak kecil berbanding jumlah bas dan laluan pergerakan yang perlu mereka pantau, setakat ini semuanya berjalan lancar hasil sistem kerja dan komunikasi yang berkesan.

“Anggota peronda dilengkapi dengan sistem walkie- talkie Bravo. Kita juga ada nombor telefon setiap pemandu bas. Jika bas lewat atau tidak tiba ke destinasi kita akan hubungi pemandu untuk mengetahui apa berlaku.

“Selain itu, kita juga melantik seorang jemaah dalam setiap bas sebagai wakil yang bertanggun­gjawab untuk menghubung­i kami jika ada kecemasan dan setiap jemaah itu dibekalkan kad yang tertera nombor 'hotline' PPKL,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Anggota peronda lebuh raya TH memantau bas yang membawa jemaah haji dari Malaysia.
Anggota peronda lebuh raya TH memantau bas yang membawa jemaah haji dari Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia