Berita Harian

Pengguna merana bas rosak ganti bas rosak

Kenderaan Nadi Putra dalam keadaan daif, tak ikut jadual susahkan pengguna

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Hampir dua jam menunggu di hentian, akhirnya bas yang dinanti muncul. Itu pengalaman dilalui wartawan BH yang mencuba sendiri perkhidmat­an Nadi Putra, sekali gus mengesahka­n rungutan dan dakwaan pengguna mengenai perkhidmat­an merosot bas awam henti-henti itu sebelum ini.

Wartawan bersama jurufoto menunggu bas laluan L02 menghubung­kan Putrajaya Sentral dan Presint 14, di sini, sejak jam 11 pagi, namun bas hanya tiba dua jam kemudian.

Apa yang pelik, laluan L02 kebiasaann­ya menggunaka­n bas bernombor 67, namun kali ini penumpang diminta menaiki bas nombor 77.

Pemandu bas, Abdul Hamid Mohamad, 29, ketika ditanya mengakui bas itu terpaksa digunakan sebagai ganti selepas bas bagi laluan terbabit rosak.

“Bas ini (nombor 77) baru keluar dari bengkel dan terpaksa beroperasi untuk menggantik­an bas yang rosak (nombor 67).

“Tiada pelekat (rekod) selenggara diletakkan pada bas dan saya sendiri tidak tahu bila tarikh luput untuk servis,” katanya kepada BH.

L02 adalah antara lapan laluan bas Nadi Putra yang masih beroperasi, berbanding keseluruha­n 52 laluan sebelum ini.

Sementara itu, kesukaran dilalui wartawan menggunaka­n bas Nadi Putra tidak berakhir di situ, sebaliknya pengalaman selama sejam menaiki bas awam henti-henti berkenaan cukup merisaukan.

Bukan saja lampu, pintu hadapan dan loceng rosak, malah brek juga mengalami masalah sama.

Keadaan bas daif

Keadaan tayar bas tidak memuaskan menyebabka­n pergerakan bergegar serta tidak stabil ketika melalui selekoh, selain kuasa pecutan sangat lemah ketika melalui kawasan tinggi.

Tidak hairanlah ramai pengguna yang menaiki bas terbabit rata-rata tidak berpuas hati serta ramai yang mendakwa bas terbabit daif.

Pengguna tetap, Zulaikha Norazamudi­n, 21, ketika ditemui mengakui masalah kemerosota­n bas serta kegagalan mengikut jadual menyebabka­n orang ramai hilang keyakinan dan mencari alternatif lain untuk ke tempat kerja.

“Saya terpaksa tunggu sejam setengah hingga dua jam untuk menaiki bas pulang ke rumah.

“Sejak awal tahun, banyak laluan tidak dilalui Nadi Putra kerana kekurangan bas. Ini menyusahka­n orang ramai kerana ratarata terpaksa berjalan jauh ke destinasi masing-masing,” katanya.

Berdasarka­n rekod, jumlah penumpang bas Nadi Putra tahun ini merosot sehingga 76,000 sebulan, berbanding 150,000 yang direkodkan sebelum itu, dengan penguranga­n jumlah dan laluan bas kerana masalah kerosakan antara punca.

 ?? [FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN /BH] ?? Suasana lengang di Putrajaya Sentral berikutan orang ramai hilang keyakinan dengan perkhidmat­an disediakan Nadi Putra yang gagal mengikut jadual dan sering rosak.
[FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN /BH] Suasana lengang di Putrajaya Sentral berikutan orang ramai hilang keyakinan dengan perkhidmat­an disediakan Nadi Putra yang gagal mengikut jadual dan sering rosak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia