Berita Harian

‘Berkawan jangan kira bangsa, wang’

Dua sahabat nasihat generasi muda tak sentuh isu perkauman

- Oleh Balqis Jazimah Zahari

“Kalau mahu berkawan lama kita jangan kira bangsa dan wang satu sen pun... kalau tak memang susahlah,” kata warga emas, Lim Chong Yaw yang berkawan karib dengan Abd Rashid Abd Shukor sejak 46 tahun tahun.

Abd Rashid, 65, yang pada mulanya hanya membeli barang di kedai runcit milik Chong Yaw, 75, kini menjadi rapat ibarat isi dan kuku dan seperti adik-beradik kandung.

Chong Yaw berkata, sebagai rakan yang akrab dia sentiasa bersedia memberi pertolonga­n tidak mengira masa dan waktu.

“Kita memang sudah lama berkawan baik dan kadang-kadang macam sudah jadi lebih rapat daripada keluarga sendiri. Apabila seorang daripada kami tiba-tiba senyap, seorang lagi mula tertanyata­nya dan terus berhubung untuk bertanya.

“Kalau dia susah saya akan terus datang ke rumahnya,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP di rumahnya di Jalan Tun Abdul Razak di sini.

Chong Yaw berkata, walaupun kedai runcitnya sudah ditutup sejak 18 tahun lalu, tetapi masih tetap bersahabat sehingga sekarang dan tidak pernah putus untuk saling berhubung.

Berjumpa dua minggu sekali

“Kami akan berjumpa di kedai makan sekurang-kurangnya dua minggu sekali dan kami banyak bercerita mengenai kisah lama… kalau ada antara kami sakit kita juga akan saling berkongsi idea cara mahu berubat,” katanya.

Chong Yaw berkata, kedua-duanya sudah menjadi seperti keluarga dan akan saling ziarah-menziarahi ketika musim perayaan.

“Ketika Aidilfitri, dia akan datang ke rumah membawa rendang, ketupat dan lemang, ketika Tahun Baharu Cina pula saya tidak pernah lupa untuk datang ke rumahnya membawa limau,” katanya.

Chong Yaw turut menasihati generasi muda untuk mengekalka­n konsep muhibah seperti dipraktikk­annya, dan tidak menyentuh isu perkauman serta bangsa yang tidak mendatangk­an sebarang faedah.

Abd Rashid yang menetap di Kampung Tengku Hussain Lama di sini, pula berkata dia menyenangi sikap sahabat itu yang tidak pernah berkira dan sentiasa membantuny­a di saat susah dan sangat memerlukan.

“Ketika saya tidak mempunyai kereta sebelum ini, dia kerap meminjamka­n keretanya, sekarang kalau kereta saya rosak pun dia jugalah yang meminjamka­n keretanya kepada saya.

“Kami saling memahami dan menghormat­i adat, budaya dan agama masing-masing, kami memang tidak pernah bergaduh,” katanya.

Abd Rashid yang juga pesara Jabatan Perikanan, berkata dia pernah bekerja secara sambilan di kedai runcit Chong Yaw bagi membantu menguruska­n dan mengangkat barang apabila terlalu banyak stok yang masuk.

Katanya, kawan baiknya itu juga kerap menemani dan membawanya untuk membuat pemeriksaa­n ketika kedua belah matanya perlu dibedah akibat katarak.

 ?? [FOTO EFFENDY RASHID /BH] ?? Abd Rashid dan Chong Yaw.
[FOTO EFFENDY RASHID /BH] Abd Rashid dan Chong Yaw.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia