Berita Harian

Pelabur asing terus beli saham tempatan

-

Pelabur asing membuat belian bersih berjumlah RM458.2 juta saham tempatan minggu lalu, lebih tinggi berbanding RM348.9 juta yang dibeli minggu sebelumnya, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

Penganalis­isnya, Adam M Rahim, berkata minggu lalu bermula perlahan apabila pelabur asing membuat belian bersih RM3.9 juta saham pada Isnin, aliran masuk harian terendah setakat tahun ini.

“Begitupun pada Selasa dan Rabu, belian bersih asing masing-masing melonjak kepada RM233.4 juta dan RM229.6 juta, dengan FBM KLCI mencatatka­n kenaikan di atas 0.5 peratus pada kedua-dua hari.

“Rabu adalah hari yang agak bermakna kerana ini kali pertama bursa tempatan ditutup di atas 1,800 mata sejak akhir Mei lalu,” katanya dalam nota mingguan.

Adam berkata, mood memberangs­angkan kedua-dua hari itu didorong oleh pendapatan korporat kukuh di Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor kewangan yang melonjakka­n S&P500 ke penutup tertinggi sejak akhir Januari lalu.

Aliran keluar berkuranga­n

Katanya, belian bersih asing pada Khamis susut kepada hanya RM18.2 juta apabila pelabur menjadi lebih berhati-hati susulan langkah China mengenakan duti 25 peratus kepada tambahan AS$16 bilion barangan AS berkuat kuasa 23 Ogos ini, yang mencermink­an levi dikenakan oleh AS.

Adam berkata, lira Turki menjunam ke paras terendah dalam sejarah pada Jumaat di tengah-tengah kemungkina­n krisis ekonomi Turki merebak ke pasaran serantau lain menyebabka­n jualan bersih di Bursa Malaysia berjumlah RM26.9 juta pada Jumaat.

“Memandangk­an pelabur global membuat kemunculan semula, aliran keluar dari Malaysia setakat tahun ini berkuranga­n daripada RM8.45 bilion kepada RM8 bilion setakat Jumaat lalu.

“Malaysia adalah negara dengan aliran keluar dana kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang kami pantau,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia