Berita Harian

Dua pekerja kilang ais maut gas ammonia bocor

18 kakitangan lain cedera alami sesak nafas, pedih mata

-

Dua pekerja kilang ais maut manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis itu di Seksyen 36 di sini, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin, berkata dalam kejadian pada jam 5 pagi, kedua-dua mangsa, dipercayai warga India yang identiti belum dikenal pasti, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sementara 18 pekerja warga asing yang cedera dihantar ke beberapa hospital iaitu lima di HTAR, Hospital Shah Alam (enam), Hospital Sungai Buloh (tiga) dan Hospital Banting (empat) bagi menerima rawatan.

“Kedua-dua pekerja yang maut itu dipercaya terhidu terus gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ammonia ketika mereka melakukan kerja rutin.

Arah kosongkan premis

“Pekerja lain yang cedera mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pedih mata kerana kandungan gas ammonia tinggi bacaannya iaitu 500 ppm (bahagian per sejuta) berbanding bacaan normal iaitu 50ppm ke bawah,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, di sini, semalam.

Azmel berkata, pihaknya yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 19 anggota termasuk daripada Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (HAZMAT) mengambil tindakan pengusiran bangunan iaitu mengarahka­n pekerja keluar dari kilang selain mengarahka­n penghuni kawasan perumahan yang terletak dalam lingkungan tiga kilometer dari kilang mengosongk­an premis masing-masing.

Selain itu, beliau berkata operasi sebuah sekolah Cina yang terletak berhadapan kilang dinasihat ditutup atas faktor keselamata­n.

“Dalam kilang terbabit, ada lima mesin yang sedang beroperasi dan satu daripadany­a yang bocor telah ditutup injapnya dan bacaan menurun. Kita gunakan beberapa kaedah seperti membuka semua pintu dan tingkap bagi keluarkan gas, menggunaka­n kipas ekzos kilang dan kaedah semburan air halus.

“Cabaran kita kini adalah berlakunya pertukaran tiupan angin yang kita khuatir akan bawa gas ammonia merebak ke kawasan sekeliling. Hingga jam 11 pagi ini (semalam) keadaan terkawal, tiada lagi bacaan 500ppm cuma masih lagi kita kepung kawasan untuk pastikan keselamata­n kawasan orang awam terjamin,” katanya sambil menambah insiden itu tidak membabitka­n kebakaran dan kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kilang berkenaan.

Keadaan terkawal

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri memandang berat kejadian kebocoran gas ammonia itu dan beliau mengarahka­n pihak Majlis Bandaraya Shah Alam serta pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya agar kawasan sekeliling serta penduduk sekitar tidak menerima kesan daripada kejadian itu.

Beliau dalam pada itu turut mengucapka­n terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang melakukan kerja menyelamat.

Tinjauan NSTP setakat jam 3 petang semalam mendapati keadaan persekitar­an berhampira­n kilang ais itu terkawal tetapi pihak bomba masih berada di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam, Yusri Basri, berkata bacaan gas ammonia dalam udara adalah 5ppm tetapi orang awam tidak dibenarkan berada berhampira­n kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan membawa isu kilang itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT ) dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

“Saya akan jumpa PBT untuk mendapatka­n penjelasan lanjut. Kita akan lihat bagaimana kilang ini beroperasi, adakah mereka mendapat kelulusan pihak alam sekitar kerana ia membabitka­n bahan berbahaya,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN BOMBA] ?? Anggota HAZMAT memeriksa mesin yang bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam, semalam.
[FOTO IHSAN BOMBA] Anggota HAZMAT memeriksa mesin yang bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia