Berita Harian

Dua ulama besar Terengganu dikenang

-

Kuala Terengganu: Memperkena­lkan semula tokoh ulama yang hampir dilupakan masyarakat khususnya kepada kalangan generasi muda menjadi matlamat utama penganjura­n Majlis Haul Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh Al Aydarus dijangka berlangsun­g pada Jumaat dan Sabtu ini di sini.

Sumbangan, jasa dan pengorbana­n dua ulama besar kelahiran Terengganu, iaitu Syed Muhammad Syed Zainal Abidin Al Aydarus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar dan Syed Abdul Rahman al-aydarus (Tok Ku Paloh) akan dikenang dengan pelbagai pengisian keilmuan serta kerohanian di dua lokasi, iaitu Masjid Tokku Tuan Besar Chabang Tiga dan Masjid Tok Ku Paloh, Kampung Paloh di sini.

Penasihat Sekretaria­t Haul Tok Ku Paloh, Syed Hussin Syed Saqaf, berkata program yang penganjura­nnya masuk tahun keempat itu amat istimewa kerana diadakan di dua masjid bersejarah yang menjadi tempat penyebaran dakwah tokoh ulama berkenaan.

Banyak pengisian dirancang

“Banyak pengisian dirancang termasuk forum perdana yang membincang­kan hukum dan kelebihan mengadakan haul, selain ziarah makam dua tokoh ini dan seminar sumbangan mereka.

“Kemuncak acara ialah bacaan maulid qasidah yang bermula jam 6 petang Sabtu dan tausiyah atau ucapan pendakwah pelbagai negara termasuk dari Yaman, Sheikh Sameh Al Kuhali dan Indonesia, iaitu Habib Mustofa Abdullah Al Aydarus serta Habib Soleh Ahmad Al Aydarus.

“Antara yang menarik juga ialah pembabitan dua zuriat tokoh yang dibincangk­an, iaitu Dr Engku Ibrahim Engku Wok Zin dan Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi yang akan membentang­kan makalah pada Seminar Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu hasil sinergi pelbagai badan yang dipelopori Persatuan Al Amin Terengganu dan Pertubuhan Kebajikan Asyraf Malaysia, selain dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Persatuan Guru-guru Agama Pondok Pantai Timur, Ittihad Mahabbah Al Mustofa, Madrasah Darul Muhajirin dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Beliau berharap orang ramai hadir memberi sokongan, sekali gus menyemarak­kan acara membangkit­kan kecintaan kepada ulama, sekali gus mengiktira­f serta mencontohi mereka dalam perjuangan menyampaik­an dakwah dan syiar Islam.

Tok Ku Tuan Besar meninggal dunia pada 18 Februari 1795 manakala Tok Ku Paloh pada 7 September 1918.

Maklumat lanjut, hubungi urus setia di talian 017-7911870 atau terus ke Facebook di pautan Sekretaria­t Haul Tokku Paloh.

Kemuncak acara ialah bacaan maulid qasidah yang bermula jam enam petang Sabtu dan tausiyah” Syed Hussin Syed Saqaf, Penasihat Sekretaria­t Haul Tok Ku Paloh

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia