Berita Harian

Lebih 300 cedera pentas runtuh di Sepanyol

-

Madrid: Satu saat cemas tercetus ketika festival muzik tepi laut di Sepanyol, kelmarin yang menyaksika­n lebih 300 orang cedera dengan sembilan dilaporkan serius selepas sebuah pentas kayu tibatiba runtuh.

Menurut laporan televisyen kebangsaan, RTVE, belum ada laporan mengenai mangsa yang terkorban susulan insiden itu yang melihat ratusan cedera di Festival O Marisquino di Vigo, sebuah bandar di wilayah Galicia.

Pasukan penyelamat dengan kamera pancaran warna merah memeriksa seluruh kawasan yang roboh itu untuk memastikan tiada siapa yang terperangk­ap di bawah manakala penyelam mencari di kawasan berdekatan jeti di sini untuk mencari mangsa jika ada yang terjatuh ke laut.

“Polis berjaya memindahka­n orang ramai secara pantas. Ada dua orang yang terperangk­ap dan petugas bomba berjaya menyelamat­kan mereka,” kata seorang pegawai.

Datuk Bandar Vigo, Abel Caballero berkata pentas yang runtuh itu berukuran 30 meter panjang dan 10m lebar.

“Ada ramai orang terbabit dalam insiden ini,“kata seorang saksi kepada RTVE.

Datuk Bandar itu berkata masih belum jelas kenapa insiden itu berlaku manakala akhbar harian tempatan di sini, El Faro de Vigo menyebut ia berlaku sejurus selepas artis rap Sepanyol Rels B meminta orang ramai melompat untuk memulakan konsert beliau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia