Berita Harian

Askar Ukraine kena tipu pegang bom tangan palsu

-

Kiev: Seorang askar yang dipaksa memegang bom tangan yang diberi rakan, menggeleta­r ketakutan sebelum lega kembali apabila diberitahu ia hanya satu replika bahan letupan.

Rakannya, yang juga seorang askar ditahan polis selepas dia menarik pin keselamata­n pada bom itu dan meminta mangsa itu memegang alat letupan itu sebelum dia melarikan diri.

Walaupun bahan berkenaan hanya replika, polis tetap menangkap suspek itu di rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian dan lelaki itu berdepan hukuman penjara tujuh tahun jika didapati bersalah.

Menurut laporan agensi berita Mail Online, keduadua lelaki itu yang tidak didedahkan nama mereka di laporkan bertengkar di bandar Dnipro di wilayah Dnipropetr­ovsk Oblast, tenggara Ukraine.

Askar itu yang baru pulang daripada berperang di wilayah Donbass dilaporkan bertengkar dengan rakannya sebelum berkata: “Pegang ini”.

Mangsa yang menyangka rakannya mahu memberi telefon bimbit terus menghulurk­an tangan tetapi sebaliknya dia mendapat sebutir ‘bom tangan’.

Mangsa terus menekan picu keselamata­n untuk mengelak bom itu daripada meletup ketika sedar dia berada di kawasan perumahan dan tiada lokasi selamat untuk membaling senjata itu.

Jerit meminta tolong

Namun, selepas tidak terdaya memegang lama picu keselamata­n itu, mangsa terus menjerit meminta tolong.

Orang ramai yang mendengar jeritan lelaki itu hadir membantu tetapi apabila melihat bom di tangan mangsa, mereka segera menghubung­i polis.

Beberapa anggota polis yang tiba kemudian membantu lelaki itu memegang bom tangan berkenaan termasuk mengikat tangan mangsa dengan menggunaka­n pita pelekat.

Sejurus selepas itu unit pemusnah bom tiba di lokasi kejadian dan mendapati bom tangan dipegang lelaki itu adalah replika serta tidak mengandung­i bahan letupan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia