Berita Harian

Keluarga bekas atlet rayu YAKEB teruskan program bantuan

-

Kuala Terengganu: “Usah buat bekas atlet negara seperti ‘kain buruk’. Jika diperlukan ditatang bagai minyak yang penuh, jika tidak mahu dibuang begitu saja tanpa ada rasa belas kasihan sama ada masih bernyawa mahupun yang sudah tiada,” kata balu bekas lagenda bola sepak negara era 80-an, Raimi Jamil, Rinawati Halan.

Rinawati tampil memohon pihak Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) memikirkan semula langkah untuk menghentik­an bantuan kebajikan dan perubatan kepada ahlinya, biarpun menghadapi ‘krisis’ dana kerana ia boleh menjejaska­n imej sukan negara.

Beliau berkata, jika bantuan kepada bekas atlet dihentikan, impak kepada bekas atlet cukup besar dalam meneruskan kehidupan harian kerana tidak semua mereka mempunyai pendapatan tetap dan bekerja selepas bersara dalam arena sukan.

“Saya bercakap bukan dalam konteks sebagai atlet tetapi sebagai isteri bekas atlet kerana ketika arwah suami terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, pihak YAKEB yang banyak membantu, selain kerajaan negeri dan kenalan arwah suami serta beberapa pihak lain.

Dana habis

“Oleh itu saya berpendapa­t program itu tidak sepatutnya dihentikan biarpun mengalami masalah dana kerana ia membantu meringanka­n beban atlet terutama yang mempunyai masalah kesihatan.

“Sumbangan itu juga sebagai tanda penghargaa­n dan pengorbana­n atlet kepada negara kerana kita tidak tahu penat lelah dan jerih perih mereka sebelum berjaya mengharumk­an nama negara di persada antarabang­sa,” katanya.

Justeru Rinawati berkata, Kementeria­n Belia dan Sukan wajar menyalurka­n peruntukan segera kepada YAKEB bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan.

“Selain itu saya juga mengharapk­an simpati YAKEB supaya segera menyalurka­n bantuan kepada saya sebanyak RM5,000 sebagaiman­a dijanjikan selepas kematian suami pada Mac lalu kerana sehingga kini masih belum mendapat bayaran itu biarpun sudah beberapa kali bertanya,” kata Rinawati.

Semalam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata YAKEB mungkin terpaksa menghentik­an sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai esok susulan kehabisan dana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia