Berita Harian

‘Pakar asing hanya auta’

Kerajaan perlu lantik tokoh tempatan jadi peneraju

- Oleh Helmi Talkah

Malaysia memiliki ramai tokoh sukan tempatan yang mampu menerajui Program Podium khususnya dalam bidang pengurusan tanpa perlu bergantung terhadap tenaga pakar negara luar.

Bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata Malaysia selama ini diperbodoh­kan oleh pegawai asing yang dilantik bagi menguruska­n program berkenaan dan ia sudah pun terbukti apabila sehingga sekarang tiada perubahan positif dibawa oleh mereka.

“Sejak dulu lagi saya sudah menyuaraka­n pendirian dalam isu ini. Tiada masalah untuk melantik jurulatih luar bagi melatih atlet tetapi bagi pegawai pengurusan atau perkhidmat­an tidak perlu orang luar.

“Dulu kita lantik Keith Power sebagai Pengarah Sukan Prestasi Tinggi tapi apa yang dibuat sepanjang pegang jawatan itu? Masa mula dilantik janji mahu tingkatkan prestasi atlet kita pada tahap tertinggi tapi kontrak belum habis sudah lari (letak jawatan).

“Lagi satu, kita lantik orang luar untuk memegang jawatan penting, gaji mereka pastinya tinggi. Saya difahamkan gaji mereka mencecah RM50,000 sebulan tapi apa program yang mereka lakukan? Tiada beza sebenarnya antara program dilakukan sebelum ini dengan apa yang mereka lakukan. Mereka semua penipu,” kata Kok Chi ketika dihubungi.

Tokoh tempatan layak

Kok Chi mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mahu melakukan penstruktu­ran semula Program Podium termasuk mungkin menamatkan kon- trak pakar asing selepas berakhir Sukan Asia Indonesia 2018 susulan hasrat kerajaan mahu menjimatka­n perbelanja­an.

Kok chi yang dianggap orang lama dan berpengala­man dalam sukan tempatan lantaran khidmatnya selama 25 tahun bersama MOM, menyokong langkah yang mahu dilaksanak­an Syed Saddiq.

Katanya, sudah tiba masa Malaysia mengiktira­f kepakaran tokoh sukan tempatan bagi menguruska­n program sukan penting seperti Program Podium kerana ia sudah terbukti sebelum ini.

“Dulu kita ada Program Jaya 98 yang diketuai Datuk Wira Mazlan Ahmad (bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) dan program itu berjaya. Kita mencipta kejayaan luar biasa pada temasya Sukan Komanwel 1998 apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan mengutip 10 emas.

“Ini buktinya. Jadi, saya harap beri peluang kepada tokoh sukan tempatan untuk menerajui Program Podium. Ada ramai yang layak dan mereka hanya perlu diberikan peluang,” kata Kok Chi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia