Berita Harian

Suspek, mangsa tiada hubungan istimewa

-

Sibu: Pemandu lori yang juga suspek utama kes pembunuhan penjawat awam, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa seperti yang viral di laman sosial.

Suspek yang berusia 42 tahun sebaliknya pernah menjalinka­n hubungan dengan rakan serumah mangsa sebelum ini.

Perkara itu didedahkan jiran mangsa yang enggan namanya disiarkan sambil menyatakan suspek adalah bekas teman lelaki kepada seorang wanita yang menyewa bilik bersebelah­an mangsa.

“Dia sering ke rumah berkenaan untuk bertemu teman wanitanya sebelum ini. Saya pernah melihatnya datang ke rumah menaiki motosikal, namun meletakkan kenderaan di kawasan agak jauh sebelum berjalan bertemu wanita berkenaan.

“Difahamkan, mangsa pernah menegur suspek kerana bebas keluar masuk rumah berkenaan dan menimbulka­n rasa tidak selesa kepada penyewa lain,” katanya.

Dalam kejadian pada 2 Ogos lalu, Nurnia Azalea yang juga kakitangan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) ditemui mati dengan keadaan tangan dan kakinya diikat di bilik sewa di Jalan Tiong Hua 1, di sini jam 3.45 petang oleh rakan sekerjanya.

Cari bekas teman wanita

Difahamkan, rakan sekerjanya ke rumah berkenaan selepas mangsa gagal melapor diri untuk syif tugasannya pada hari kejadian, selain diminta oleh suami wanita itu yang bertugas di Tatau, Bintulu, untuk memeriksa keadaannya selepas gagal dihubungi sejak malam sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahka­n perkara berkenaan dan secara kebetulan, mangsa dan suspek berasal dari Kanowit.

“Hasil siasatan mendapati suspek datang ke rumah berkenaan untuk mencari bekas teman wanitanya dan dari situlah kejadian berlaku. Kita sedang mengenal pasti motif sebenar pembunuhan ini.

“Kita berharap penjelasan ini dapat mengelak sebarang spekulasi mengenai kes ini, terutama di laman sosial hingga boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Katanya, suspek berkenaan kini masih dalam tempoh reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia