Berita Harian

Usah mudah selesa hasil separa cemerlang: Dr M

Rakyat digesa sasar hasil terbaik dalam semua perkara

-

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia untuk memaksa diri mereka berusaha lebih keras dan menyasarka­n untuk mencapai yang terbaik dalam apa juga yang mereka lakukan dan tidak mudah selesa dengan hasil separa cemerlang.

Perdana Menteri berkata keperluan untuk bekerja keras dalam era moden ini amat penting dan mereka yang mengambil mudah semua perkara tidak akan mencapai apa-apa.

Memberikan contoh rakyat Jepun, Dr Mahathir berkata banyak yang boleh dipelajari oleh rakyat Malaysia daripada mereka dan berharap ia akan diteladani dan diamalkan oleh rakyat Malaysia.

“Selepas perang mereka pulih dengan amat cepat dan sebabnya adalah kerana mereka mempunyai rasa bangga terhadap negara mereka sendiri dan rasa malu jika lakukan sesuatu yang tidak baik, rasa malu pada diri sendiri termasuk melakukan harakiri jika gagal.

“Jadi mereka mahu mengelak daripada berasa malu dengan diri sendiri, ini bermakna apabila mereka melakukan sesuatu mereka mahu produk mereka diiktiraf oleh orang sebagai produk berkualiti baik. Dengan itu mereka akan berasa bangga,” katanya.

Dr Mahathir selanjutny­a berkata bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai dan mengamalka­n prinsip berkenaan, ia perlu diajar peringkat awal kepada generasi muda.

Pupuk nilai moral

Katanya, setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan mereka dalam pemupukan nilai moral ini, termasuk dalam sistem pendidikan.

“Jadi di sekolah, kami akan mengubah sesetengah kurikulum untuk memasukkan beberapa aspek untuk membentuk tingkah laku rakyat pada usia muda.

“Sudah tentu sesetengah orang mungkin melihat ini sebagai sejenis kem kerja dan perkara yang seumpama itu, anda cuba brainwash (doktrin) anak mereka, tetapi kita semua telah didoktrin, kita didoktrin oleh komuniti kita, oleh ibu bapa kita pada setiap masa.

“Dan apabila anda memupuknya dan mengdoktri­n otak anda dengan cara baik, saya fikir ia patut diterima,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata mengajar nilai dan ilmu sematamata tidak akan berjaya, sebaliknya ia perlu disemai dan dipandu secara terperinci untuk mencapai bentuknya yang sebenar dan memberikan hasil positif.

“Saya sentiasa membuat perbanding­an dengan pisau, jika ada sebilah pisau kita melihat sesuatu yang tajam, anda boleh menggunaka­n pisau itu untuk mengukir benda cantik, anda juga boleh menggunaka­n pisau untuk membunuh orang.

“Ia keputusan anda. Jadi menerusi keputusan itu, jika ia dilaksanak­an ... pisau dalam tangan orang yang jahat akan menyebabka­n pisau itu akan digunakan untuk perkara jahat. Tetapi jika anda ajarnya kelakuan yang baik, dengan itu orang itu akan menggunaka­n pisau itu untuk mengukir benda yang cantik dan melakukan perkara baik. Jadi itu yang mencorakka­n seseorang itu,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan The Third Age Media Associatio­n dan Bernama News Channel (BNC), barubaru ini.

Wawancara dengan Third Age Media Associatio­n itu diadakan bersempena Persidanga­n Penuaan, Pembelajar­an dan Teknologi: Meningkatk­an Kehidupan, Menghubung­kan Komuniti 2018 pada 9 Oktober ini.

Tugas besar perlu diselesai

Berhubung matlamat dan perancanga­n beliau untuk Malaysia, Dr Mahathir berkata, sejak kerajaan baharu dibentuk, negara berdepan tugas besar yang perlu diselesaik­an dan menjadi tanggungja­wab beliau dan menteri kabinet beliau untuk menangani satu persatu daripada setiap perkara berkenaan.

“Saya fikir saya ada banyak benda untuk dilakukan sekarang. Kerana negara berada dalam keadaan amat teruk, berhutang beberapa trilion dolar dan jentera kerajaan terdahulu telah terlalu dimanjakan dan kami perlu membina semula kerajaan.

“Letakkan orang yang baik dan semua itu, latih semula mereka dan bawa balik mereka berkhidmat kepada negara, menyelamat­kan rakyat dan negara, bukan berkhidmat kepada individu tertentu. Jadi inilah kerja yang saya perlu lakukan dan sudah tentu bersama rakan saya dalam kerajaan,” katanya.

Mengakhiri wawancara itu dan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, beliau memberikan mesej dengan menggesa generasi muda dan tua untuk saling bekerjasam­a dan membina sebuah masyarakat unggul untuk hidup dalam sebuah negara hebat.

Saya sentiasa membuat perbanding­an dengan pisau, jika ada sebilah pisau kita melihat sesuatu yang tajam, anda boleh menggunaka­n pisau itu untuk mengukir benda cantik, anda juga boleh menggunaka­n pisau untuk membunuh orang. Ia keputusan anda” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia