Berita Harian

Majlis Syura Ulama rangka strategi

Langkah pastikan perjuangan parti tak tergelinci­r daripada dasar, prinsip: Hadi

-

Majlis Syura Ulama (MSU) PAS akan merangka strategi politik dan sikap serta pendirian parti itu berdasarka­n kepentinga­n semasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata langkah itu bagi memastikan perjuangan parti tidak tergelinci­r daripada dasar, prinsip dan matlamat dijunjung selama ini.

Perjuangan PAS, katanya, kekal berlandask­an hukum Islam dan menguasai fiqah politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbang­an), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) dalam mengadapi perubahan senario politik serta masyarakat.

Keputusan dari segi dasar, strategi politik

“Untuk itu, wujud keperluan bagi PAS membuat keputusan dari segi dasar dan strategi politik yang penting.

“Ia memerlukan kebijaksan­aan Ahli Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankua­sa PAS Pusat bagi menentukan sikap serta pendirian parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucapan dasar bertemakan ‘Islam Memimpin’ sempena perasmian Muktamar PAS Ke64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Selain barisan pimpinan tertinggi PAS seperti Mursyidul Am, Hashim Jasin, dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, majlis perasmian muktamar kali ini mencatat sejarah apabila turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadi turut menyatakan pendirian PAS untuk terus menegakkan perjuangan Islam dan menolak pendekatan keras tanpa kebijaksan­aan.

Pendekatan politik damai

Beliau berkata, PAS tetap mengambil pendekatan politik damai dengan semua pihak, termasuk musuh dan lawan sebagai langkah meramaikan ahli serta penyokong.

“Ia adalah rahsia ketahanan PAS yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhann­ya, berbeza pengalaman gerakan Islam di negara lain.

“PAS tetap berterus terang bersama Islamnya dan tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya, selain menolak pendekatan keras tanpa kebijaksan­aan.

“Pendekatan itu juga selari konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terhadap semua pihak yang menjadi pegangan PAS,” katanya.

Pilih titik persamaan

Hadi mengulangi pendirian PAS yang bersedia menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

Katanya, pendekatan taawun (tolong-menolong) dalam Islam turut terpakai dalam hubungan masyarakat majmuk sesuatu negara, walaupun berbeza agama dan bangsa.

“Objektifny­a ialah memilih titik persamaan terlebih dulu dan menangani perbezaan secara anjal serta menolak perpecahan yang merugikan, walaupun mengambil masa lama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia