Berita Harian

Bukan kesinambun­gan kolaborasi tahaluf siyasi

Kerjasama UMNO, PAS dalam kerangka gagasan parti pembangkan­g: Ahmad Zahid

- Oleh Helmy Abd Rahman, Fitri Nizam dan Zaid Salim

Kerjasama UMNO dengan PAS bukan kolaborasi politik bersifat ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik, sebaliknya dibentuk dalam kerangka gagasan parti pembangkan­g.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kehadiran pimpinan tertinggi UMNO ke Muktamar Tahunan PAS ke-64 melakar sejarah baharu dalam landskap politik negara walaupun kedua-dua parti itu menghadapi permasalah­an hampir enam dekad.

Bagaimanap­un, beliau berkata, UMNO dan PAS pernah bersama sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan pada 1974.

“Kini PAS membentuk Gagasan Sejahtera, iaitu gabungan parti pembangkan­g oleh itu kita (UMNO) akan mengadakan hubungan secara formal dengan PAS dalam kepimpinan parti pembangkan­g.

“Ini penting kerana hakikat sekarang bukan sahaja UMNO, malah rakan dalam komponen BN juga sudah menukar cara pemikiran dan cara bertindak kepada pembangkan­g.

“Maka hubungan yang terjalin antara UMNO dengan PAS jangan dibaca bahawa kita menjalin hubungan formal yang dipanggil kolaborasi politik bersifat tahaluf siyasi sebaliknya ia dibentuk dalam kerangka gagasan parti pembangkan­g,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di sini semalam.

Sama perjuangan

Ahmad Zahid berkata, kebersamaa­n antara UMNO dengan PAS adalah mengikut garis isu perjuangan yang mempunyai persamaan iaitu Islam, Melayu dan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Biarpun isunya adalah Islam namun kita tidak mengetepik­an dan menghormat­i agama lain, biarpun isunya Melayu tetapi kita tidak melupakan kaum lain,” katanya.

Mengulas mengenai persoalan ucapan dasar Presiden PAS yang tidak langsung menyentuh jalinan kerjasama antara parti Islam itu dengan UMNO, Ahmad Zahid berkata ucapan itu perlu diteliti secara tersirat dan bukan mengadili apa yang tersurat.

“Saya fikir PAS ikhlas dalam jalinan kerjasama ini walaupun tidak disebut secara spesifik, namun ia menjurus kepada kerjasama antara parti ini dengan yang lain,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Ahmad Zahid juga berkata, UMNO tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata sokongan keduaduany­a bersifat peribadi dan tidak mewakili UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Apa perlunya (tindakan tatatertib)? Saya tidak nampak ada permasalah­an dan saya sering meraikan perbezaan pendapat dalam UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu sempat menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah UMNO menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak menjejaska­n keharmonia­n parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun ada segelintir pemimpin MCA melahirkan rasa kurang senang dengan hubungan ‘mesra’ itu.

“Saya kerap kali mengadakan perbincang­an dengan Presiden MCA (Datuk Seri Liow Tiong Lai) serta Timbalanny­a (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan mereka sangat matang dan bersikap rasional,” katanya.

Hubungan yang terjalin antara UMNO dengan PAS jangan dibaca bahawa kita menjalin hubungan formal yang dipanggil kolaborasi politik bersifat tahaluf siyasi sebaliknya ia dibentuk dalam kerangka gagasan parti pembangkan­g” Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia