Berita Harian

DAP sokong Ketua Umum PKR tanding di PD

-

Kuala Lumpur: DAP menyokong penuh hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dalam usaha bakal Presiden PKR itu kembali ke Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan Ketua Umum PKR itu tepat pada masanya dalam memperkuat­kan semula Malaysia sebagai negara demokrasi, menghormat­i undang-undang, keadilan sosial dan meraikan kepelbagai­an.

“DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan menyokong Anwar kerana beliau mewakili visi PH dalam membina semula perpaduan negara di bawah kepemimpin­an Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebaliknya, pembangkan­g yang akan bertanding menentang Anwar mempromosi politik perpecahan, cauvanisme, perkauman dan pelampau agama yang penuh dengan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Guan Eng berkata, pembangkan­g dilihat akan meneruskan permainan berbahaya kerana tiada kelebihan politik untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka berhak memerintah negara.

Sentimen ekstrem

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) pula tercemar dengan isu rasuah dan berterusan hidup dalam penafian, manakala PAS cuba menutup kegagalan mereka dalam menguruska­n ekonomi dengan menyuburka­n kebencian, penipuan dan menanam ketakutan dalam kalangan bukan Islam.

“PAS akan berterusan menggunaka­n sentimen ekstrem untuk mengalih perhatian daripada kegagalan mereka menguruska­n Kelantan. Kelantan secara praktikaln­ya adalah negeri muflis kerana tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya dan terpaksa mengharapk­an bantuan Kerajaan Persekutua­n.

“Justeru, DAP percaya pengundi di Port Dickson akan memberi kemenangan kepada Anwar dan PH. DAP akan menggerakk­an jentera parti untuk membantu Anwar sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Di Muar, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengalu-alukan kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang menyatakan kesediaan membantu Anwar ketika kempen PRK Port Dickson.

“Baguslah, kalau boleh sertai PH terus,” katanya sambil menambah tindakan sedemikian selari dengan kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia